Jet Pejuang Rusia Bawa Senjata Nuklear Ceroboh Ruang Udara Eropah | Sabah News

Jet Pejuang Rusia Bawa Senjata Nuklear Ceroboh Ruang Udara Eropah | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

Gambar Hiasan…

SWEDEN – Dua buah jet pejuang Rusia yang dikesan menceroboh ruang udara Eropah pada awal bulan ini dilaporkan membawa senjata nuklear

Menurut laporan media Sweden, dua jet pengebom Su-24 dan dua jet pejuang Sukhoi Su-27 dikesan di ruang udara Eropah pada 2 Mac lalu.

Ia terbang merentasi rantau Baltic menuju ke Pulau Gotland sebelum dipintas oleh beberapa jet pejuang Sweden.

Menurut laporan, pesawat-pesawat Rusia itu berlepas dari pangkalan udara di Kaliningrad dan dirakam di ruang udara Eropah di mana ia berlegar-legar selama satu minit.

Laporan terbaharu bagaimanapun mendedahkan bahawa pesawat pengebom Su-24 itu membawa senjata nuklear…

Meskipun tentera Sweden mengesahkan telah memintas jet-jet Rusia itu,  Stockholm belum memberi sebarang ulasan mengenai dakwaan senjata nuklear seperti yang disiarkan oleh media tempatan termasuk TV4 serta akhbar Aftonbladet dan Expressen.

“Pencerobohan Rusia ke atas ruang udara Sweden tidak dapat diterima sama sekali…

“Ia membawa kepada tindak balas diplomatik dari Sweden. Kedaulatan dan wilayah Sweden perlu sentiasa dihormati,” kata Menteri Pertahanan, Peter Hultqvist.

TV4 dalam laporannya memetik beberapa sumber sebagai berkata, pencerobohan ruang udara yang berlaku dianggap sebagai cubaan untuk menakut-nakutkan Sweden dan menguji kekuatan Rusia.

Kremlin sebelum ini  menyatakan akan menggunakan senjata nuklear ke atas Barat  dalam amaran kepada Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO)  agar  tidak campur tangan dalam konflik antara Rusia-Ukraine.

Sweden bagaimanapun bukan anggota NATO.

“Sekiranya masih ada orang yang waras dalam NATO, mereka pasti tidak akan meluluskan  misi tentera pendamai (di Ukraine).

“Mengapa? Kerana keputusan NATO itu  akan bermaksud pengisytiharan perang ke atas Rusia.

“Bagi memenangi peperangan ini (dengan NATO), mahu atau tidak, kita terpaksa menggunakan senjata nuklear ,” kata pakar ketenteraan Kremlin, Kolonel Yury Knutov kepada stesen penyiaran Rusia, Channel 1.

Su-24 merupakan pesawat supersonik dua tempat duduk yang beroperasi sejak sebelum era kejatuhan negara Kesatuan Soviet.

Pesawat tersebut turut digunakan oleh Rusia dan Ukraine dalam peperangan yang sedang berlangsung.