Doktor Klinik Swasta Rugi Hampir Sejuta Ringgit Kepada Macau Scam | Sabah News

Doktor Klinik Swasta Rugi Hampir Sejuta Ringgit Kepada Macau Scam | Sabah News

Kongsikan Berita Ini





Seorang doktor di sebuah klinik swasta sini rugi sebanyak RM747,000 selepas tertipu dengan sindiket ‘Macau Scam’…

TAWAU, SABAH – Seorang doktor di sebuah klinik swasta sini rugi sebanyak RM747,000 selepas tertipu dengan sindiket ‘Macau Scam’ sejak Januari lalu.

Doktor lelaki berusia 30-an itu telah melakukan 16 transaksi pemindahan wang sebelum menyedari dirinya ditipu dan melaporkan kejadian itu kepada pihak Polis pada 18 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Husin berkata, mangsa terpedaya selepas menerima panggilan daripada individu-individu yang menyamar sebagai pegawai polis dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Sindiket itu melakukan penipuan menggunakan teknik ‘spoofing’ iaitu penyamaran nombor talian apabila pemanggil menggunakan perkakasan internet ketika membuat panggilan melalui internet (VOIP)…

“Kejadian pertama berlaku pada 27 Januari lalu apabila mangsa menerima panggilan kononnya daripada KKM mengatakan namanya digunakan untuk mengambil ubat di hospital lain.

“Pada mulanya mangsa sangsi dengan panggilan telefon itu namun sindiket terbabit menggunakan taktik penyamaran sebagai polis,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Jasmin berkata penipu itu meyakinkan mangsa bahawa dia terbabit dengan kes pengubahan wang haram serta penyeludupan dadah.

“Mangsa dikehendaki memberi maklumat kad bank dan perbankan dalam talian, kononnya bagi mengenal pasti sama ada terbabit dengan masalah pengubahan wang haram,” tambahnya.