237 Warganegara Indonesia Dihantar Pulang, Masih Tiada Peruntukan Ujian Saringan Dari Filipina | Sabah News

237 Warganegara Indonesia Dihantar Pulang, Masih Tiada Peruntukan Ujian Saringan Dari Filipina | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

Sitti Saleha (tengah) bersama Heni pada kanannya bergambar semasa program penghantaran pulang warganegara Indonesia di Pelabuhan Tawau…

TAWAU, SABAH – Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah (JIM Sabah) menghantar seramai 237 pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Indonesia dalam Program Penghantaran Pulang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) Siri 1/2022 hari ini.

Pengarahnya, Sh Sitti Saleha Habib Yussof berkata, kesemua PATI tersebut telah ditahan di Depot Imigresen Tawau sejak tahun 2020 dan penghantaran pulang mereka adalah melalui Pelabuhan Tawau sini ke Pelabuhan Nunukan, Indonesia.

“Proses pengusiran dalam kalangan ramai tahanan di semua Depot Tahanan Imigresen (DTI) di negeri Sabah telah banyak kali tertangguh berikutan negara-negara asal tahanan memberikan alasan sedang berhadapan dengan ancaman pandemik COVID-19.

“Semua tahanan akan melalui proses tapisan kesihatan yang ketat termasuk ujian saringan COVID-19 dan proses pengasingan bagi memastikan tidak wujud penularan jangkitan sebelum penghantaran pulang dilaksanakan…

“Sebahagian besar tahanan telah pun mendapat vaksin lengkap dan vaksin penggalak,” katanya dalam kenyataan hari ini sambil menambah yang individu terbabit telah melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan – Peraturan Imigresen 1963.

Semua hukuman telah mengikut proses perundangan negara untuk mereka diusir keluar dari negeri Sabah dengan kerjasama Konsulat Jenderal Republik Indonesia, Tawau diketuai oleh Konsul Heni Hamidah.

“Bagi tempoh tahun 2022, JIM Sabah telah mengusir seramai 78 orang PATI pelbagai warganegara melalui udara yang melibatkan seramai 42 orang warganegara Filipina, seorang warganegara Indonesia manakala 35 orang lagi adalah dalam kalangan dari lain-lain negara.

“Dalam tempoh ini juga, JIM Sabah telah mengemukakan seramai 2000 orang senarai nama tahanan warganegara Filipina kepada pihak Kedutaan Filipina di Kuala Lumpur bagi tujuan penghantaran pulang ke negara asal,” katanya.

Beliau berkata proses pengusiran bagi tahanan warganegara Filipina telah lama tertangguh sejak Jun 2021 lagi kerana kerajaan Filipina masih menunggu peruntukan bagi membiayai kos ujian RT-PCR.

Melihat perkara yang berlarutan itu, pihak JIM Sabah mengesyorkan kepada pihak Kedutaan Filipina agar keluarga tahanan atau tahanan itu sendiri hendaklah dibenarkan untuk menanggung kos ujian RT-PCR mereka sendiri.

“Ini termasuk juga tahanan dibenarkan menanggung kos pembelian tiket balik melalui udara tanpa menunggu tiket yang dikeluarkan oleh pihak Kedutaan,” katanya.

Kerajaan Filipina melalui pihak Kedutaan Filipina di Kuala Lumpur telah membuat ketetapan sebelum ini bahawa mana-mana tahanan yang dihantar pulang ke Filipina hendaklah menjalani ujian saringan RT-PCR dengan keputusan ujian COVID-19 negatif terlebih dahulu sebelum proses pengusiran.

“Tindakan ini dapat memastikan proses penghantaran pulang tahanan warganegara Filipina berjalan lancar dan tahanan berkenaan tidak perlu berada lama dalam Depot Tahanan Imigresen atau DTI,” jelasnya.