SOLAT SAF RAPAT DIBENARKAN DI SABAH MULAI 1 APRIL INI | Sabah News

SOLAT SAF RAPAT DIBENARKAN DI SABAH MULAI 1 APRIL INI | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

KOTA KINABALU, SABAH – Umat Islam di Sabah akhirnya dibenarkan menunaikan solat berjemaah secara merapatkan sejadah tanpa bersentuhan mulai esok (1 April) ketika negara turut melihat sempadan antarabangsanya dibuka semula.

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Datuk Ustaz Haji Saifulzaman Sangul berkata, pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) itu dipanjangkan kepada saf solat fardhu LIMA (5) waktu, solat Jumaat dan Tarawih di semua masjid dan surau seluruh negeri.

“Dengan syarat, jemaah yang hadir hendaklah divaksin…

“Semua masjid dan surau hendaklah melaksanakan semua garis panduan SOP yang ditetapkan sebelum ini seperti memakai pelitup muka, membawa sejadah sendiri, tidak bersalaman, dan sebagainya,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Katanya, aktiviti masjid dan surau juga kekal sebagaimana yang telah ditetapkan sebelum ini.

Beliau maksudkan aktiviti seperti kuliah-kuliah selepas solat fardhu, dhuha, bengkel, kursus serta program keagamaan dengan mengambil kira penyesuaian waktu ibadat di bulan Ramadhan.

“Mengadakan jamuan berbuka puasa, mori, sahur, tadarus al-Quran, qiamulail serta aktiviti sepanjang bulan Ramadhan turut dibenarkan,” tambahnya.

Dalam pada itu, ahli jemaah yang masih dalam tempoh pengawasan COVID-19, berisiko tinggi atau mempunyai simptom virus itu serta kanak-kanak di bawah 12 tahun melainkan bersama penjaga atau ibu bapa yang telah lengkap divaksin, tidak dibenarkan hadir.

“Ahli jemaah digalakkan mengambil air wuduk dari rumah. Amalan berselawat dan bertakbir selepas solat boleh dilaksanakan tetapi amalan bersalaman dan berpeluk tidak dibenarkan,” tegasnya.

Tambah Ustaz Haji Saifulzaman, kebenaran ini dilaksanakan dengan mengambil kira Maqasidal-Syar’ieyyah serta langkah-langkah membendung jangkitan virus COVID-19.

Beliau turut  memberi peringatan bahawa sekiranya ada jemaah yang disyaki atau disahkan POSITIF COVID-19, pihak masjid atau surau tersebut perlu melakukan proses sanitasi penuh dan jemaah lain yang hadir pada hari berkenaan perlu melakukan saringan mengikut prosedur Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).