Runding Untuk Elak Bertembung: Japlin | Sabah News

Runding Untuk Elak Bertembung: Japlin | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

Pengarah Strategi dan Pilihan Raya BERSATU Sabah, Datuk Japlin Akim…

KOTA BELUD, SABAH – Rundingan perlu diadakan antara parti komponen dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bersama Barisan Nasional (BN) untuk mengelak sebarang pertembungan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengarah Strategi dan Pilihan Raya BERSATU Sabah, Datuk Japlin Akim berkata, kerajaan negeri kini dalam sebuah gabungan iaitu GRS yang didaftar hasil beberapa parti serta kerjasama dengan BN.

“GRS adalah gabungan yang baik dan pada saya gabungan yang kukuh ini adalah untuk memastikan politik di negeri Sabah akan terus dalam keadaan yang stabil…

“Memang setiap parti akan menyatakan bertanding sebanyak kerusi yang boleh, sama juga BERSATU, dan akan cuba berjuang seberapa banyak kerusi yang kita boleh tandingi.

“Tetapi hakikatnya nanti apabila tiba waktunya, ketua-ketua parti dengan komponen GRS dan BN akan berunding dan bermesyuarat bagi menentukan mana satu kerusi yang perlu ditandingi oleh parti-parti itu berdasarkan keupayaan, boleh memenangi kawasan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Program Si Cilik Ke Sekolah Bersama Simpan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) Kawasan Kota Belud disempurnakan Ketua Penerangan BERSATU merangkap Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Datuk Wan Saiful Wan Jan di Dewan Masyarakat Tun Said, di sini, hari ini.

Japlin yang juga Ketua Bahagian BERSATU Kota Belud berkata, tujuan kerjasama itu dibentuk adalah bagi mewujudkan politik yang stabil demi menewaskan pihak pembangkang, selain daripada mengelak daripada berlaku pertembungan dalam pilihan raya.

“Wujudnya GRS-BN yang disebutkan sekarang dalam Kerajaan Negeri adalah bertujuan untuk memastikan tidak ada pertembungan berlaku kalau boleh, dan sebolehnya kita cuba elakkan.

“Namun jika harus berlaku pertembungan, saya yakin, ketua kita akan lebih bijak dalam membuat keputusan dan mengatur strategi,” ujar Japlin lagi.