Taliban Arahkan Semua Kakitangan Kerajaan Afghanistan Hendaklah Mempunyai Janggut | Sabah News

Taliban Arahkan Semua Kakitangan Kerajaan Afghanistan Hendaklah Mempunyai Janggut | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

Kelhatan beberapa orang tentera Taliban meronda di hadapan Lapangan Terbang Antarabangsa Hamid Karzai di Kabul, Afghanistan…(Sumber Foto: REUTERS)

KABUL, AFGHANISTAN – Taliban mengenakan beberapa sekatan baharu di negara itu selari dengan pentadbiran Islam dengan mengarahkan semua kakitangan Kerajaan hendaklah mempunyai janggut serta mematuhi kod etika berpakaian atau berisiko mereka dipecat.

Perkara itu didedahkan oleh TIGA (3) sumber yang menyatakan wakil daripada Kementerian Penyebaran Kebajikan dan Pencegahan Maksiat semalam yang sedang membuat rondaan di pintu masuk ke pejabat kerajaan bagi memeriksa sama ada pekerja pejabat itu mematuhi peraturan baharu terbabit.

Memetik laporan Reuters, kakitangan Kerajaan juga diarahkan tidak mencukur janggut dan memakai pakaian tempatan yang labuh dan longgar dengan topi atau serban.

Mereka juga diberitahu untuk solat pada tepat waktunya, kata dua sumber lain.

Katanya lagi, pekerja tidak akan dibenarkan memasuki pejabat mulai sekarang dan akan dipecat jika mereka tidak memenuhi kod pakaian itu.

Jurucakap Kementerian Moral Awam, bagaimanapun tidak memberi maklum balas terhadap pertanyaan media.

Minggu lalu, Taliban melarang wanita mengambil penerbangan tanpa pendamping lelaki selain turut gagal membuka sekolah perempuan seperti dijanjikan.

Baru-baru ini juga, Taliban turut mengarahkan taman diasingkan mengikut jantina, dengan wanita dibenarkan masuk tiga hari seminggu dan lelaki empat hari lagi termasuk hujung minggu. sekali gus bermakna pasangan dan keluarga tidak boleh berkunjung pada masa sama.

Pentadbiran Taliban dikritik secara dalaman dan kerajaan Barat berikutan memaksa dengan keras rakyat negara itu mematuhi undang-undang Islam.

Bagaimanapun, Taliban berkata, mereka akan menghormati hak setiap orang selaras dengan undang-undang Islam dan adat Afghan selain menegaskan kerajaannya sudah berubah berbanding pemerintahan 1996-2001, apabila mereka melarang wanita keluar rumah tanpa saudara lelaki dan memaksa lelaki menyimpan janggut.

Tindakan ‘pusingan U’ bagaimanapun diumumkan Rabu lalu yang mana membawa protes daripada masyarakat antarabangsa termasuk Amerika Syarikat yang menarik diri daripada mesyuarat yang dirancang dengan pegawai Taliban di Qatar untuk membincangkan isu ekonomi utama.

Pemerintahan Taliban memerlukan negara Barat untuk menarik balik sekatan yang melumpuhkan ekonomi Afghanistan.