PBS Sentiasa Fokus, Bermatlamat Jelas – Jahid | Sabah News

PBS Sentiasa Fokus, Bermatlamat Jelas – Jahid | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

SELAMAT DATANG …. Jahid disambut meriah oleh para Perwakilan yang hadir.

BENGKOKA, SABAH – Parti Bersatu Sabah (PBS) tidak pernah melencong, tetapi sentiasa fokus ke arah mencapai matlamatnya.

Timbalan Presiden PBS, Datuk Jahid Jahim berkata, PBS mempunyai matlamatnya yang jelas, tidak melencong ke kiri atau ke kanan, tetapi sentiasa menumpukan perhatian ke arah mencapai matlamatitu.

“PBS merupakan parti yang boleh rakyat bergantung harap kerana kita (PBS) sejak dahulu hingga kini tetap konsisten dari segi matlamat perjuangannya,” katanya.

BERSATU! BERSATU! BERSATU! …. Laungan slogan keramat PBS berkumandang di Bengkoka…

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Parti Bersatu Sabah (PBS) Bahagian N.2 Bengkoka Kali Ke-36 & 37, di Dewan Kg Pias Kanibongan, pada Isnin.

Turut hadir Ketua Exco Pemuda Pusat, Christoper Mandut, Ketua Exco Pergerakan Wanita Pusat, Datin Malianah Ugau, Ketua Bahagian Pitas, Awang Okik, Ketua Bahagian Kadamaian, Demis Rumanti, dan Pengerusi Penganjur merangkap Timbalan Ketua Bahagian Bengkoka, Masikah Rumunji.

Katanya, PBS tidak pernah jemu untuk menuntut segala perkara yang sepatutnya menjadi hak rakyat Sabah menerusi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Tambah beliau, Rang Undang-Undang (RUU) pindaan Perlembagaan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang telah diluluskan Dewan Rakyat baharu-baharu ini menjadi bukti perjuangan parti selama ini dalam usaha mengembalikan kedaulatan dan hak Sabah.

Menurutnya, keputusan itu juga merupakan satu bentuk pengiktirafan kepada semangat kesatuan negara antara Sarawak dan Sabah yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Langkah kita yang seterusnya kini adalah bagi memastikan bahawa janji MA63 itu akan benar-benar dipenuhi dan dilaksanakan sepenuhnya…

Jahid yang juga Ketua PBS Bahagian N.14 Tamparuli, berkata, harus diingat oleh generasi muda bahawa semuanya itu adalah bermula dari suara perjuangan PBS sejak tahun 1985, sebagai salah satu asas perjuangannya.

“Biar sejarah tercatat bahawa kitalah pejuang yang sebenar, dan biar ini semua akan kita kongsikan kepada anak-anak muda dan generasi yang seterusnya.

Dalam pada itu, beliau turut berpesan kepada seluruh kepimpinan PBS kawasan Bengkoka agar tidak berputus asa atau berasa kecewa atas kekalahan parti itu pada Piluhanraya Negeri Ke-16 (PRN-16) yang lalu.

“Sebaliknya sematkan dalam hati, bahawa anda telah mewakili sebuah parti yang berintegriti, berkredibiliti, parti yang telah memperjuangkan secara konsisten hak-hak rakyat negeri Sabah tanpa putus selama 37 tahun,” katanya, yang juga Wakil Rakyat Tamparuli.

Terdahulu, Ketua Bahagian Bengkoka merangkap Ahli Majlis Tertinggi (AMT) PBS, Dr Samuil Mopun, berkata, kehadiran Jahid merupakan suntikan motivasi kepada mereka untuk menyemarakkan lagi semangat ‘Bersatu’ dalam kalangan ahli di situ.

Untuk rekod, daripada 80 Cawangan yang terdapat di Bengkoka, 61 Cawangan berjaya AGM, dan seramai 63 Perwakilan hadir ke AGM peringkat Bahagian kali ini.