Kanak-Kanak Perlu Divaksin Segera, Susulan Peningkatan 160% Kes COVID-19 Golongan Itu | Sabah News

Kanak-Kanak Perlu Divaksin Segera, Susulan Peningkatan 160% Kes COVID-19 Golongan Itu | Sabah News

Kongsikan Berita Ini





Timbalan Menteri Kesihatan I Datuk Dr Noor Azmi Ghazali…

KUALA LUMPUR: Ibu-bapa dinasihatkan untuk membawa anak-anak mereka yang belum divaksinasi untuk segera mendapatkan vaksin berikutan peningkatan 160 peratus kes COVID-19 melibatkan golongan itu yang dimasukkan ke hospital.

Langkah itu penting bagi memastikan kanak-kanak berusia 5 hingga bawah 12 tahun mendapat perlindungan daripada jangkitan teruk COVID-19 dan komplikasinya, kata Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali

“Mulai 1 April 2022, negara akan beralih ke Fasa ‘Peralihan ke Endemik’ di mana banyak aktiviti yang tidak dibenarkan akan dibuka dan SOP mula dilonggarkan…

“Ada dalam kalangan ibu bapa menganggap semasa fasa peralihan ini kanak-kanak 5 hingga bawah 12 tahun tidak perlu lagi diberi vaksinasi.

“Pada hakikatnya, terdapat peningkatan 160% bilangan kes COVID-19 dalam kalangan kanak-kanak yang dimasukkan ke hospital pada tahun 2022,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kata Dr Noor Azmi, ibu bapa yang membawa anak ke pusat pemberian vaksin (PPV) COVID-19 pada hari mereka bekerja akan diberikan surat pengesahan kehadiran (time slip) yang membuktikan mereka membawa anak untuk vaksinasi.

“KKM berharap majikan sektor kerajaan dan swasta memberi kerjasama dalam membenarkan ibu bapa membawa anak untuk vaksinasi,” jelasnya.

Ibu bapa diminta mendaftarkan anak sebagai tanggungan dalam aplikasi MySejahtera untuk mendapatkan pautan janji temu atau membawa anak 5 hingga bawah 12 tahun secara walk-in ke PPV terdekat.