Hubungan BN-PN Dalam Kerajaan Adalah Baik – Annuar | Sabah News

Hubungan BN-PN Dalam Kerajaan Adalah Baik – Annuar | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

Tan Sri Annuar Musa…

PAPAR, SABAH – Hubungan antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) dalam kerajaan adalah baik, namun kedua-dua parti politik itu mempunyai strategi masing-masing menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa yang dipetik Bernama berkata, beliau tidak merasakan BN dan Bersatu renggang, kerana kedua-duanya masih lagi berada dalam satu kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut Ketua UMNO Bahagian Ketereh itu, kerajaan BN-PN sedang berjalan dengan baik, namun situasi tersebut berbeza apabila kedua-dua gabungan parti berkenaan berdepan dengan pilihan raya, kerana masing-masing ingin mencuba nasib bertanding sendiri.

“Saya rasa apa yang berlaku adalah lumrah politik. Masing-masing sedang membuat penyesuaian, jadi biarlah proses ini berjalan secara harmoni, kerana ini satu ketentuan yang tidak dapat dielakkan…

“Menjelang PRU15, setiap parti politik akan mengambil strategi masing-masing dan setiap parti mempunyai kaedah penentuan (kaedah membuat keputusan) melalui pelbagai peringkat jawatankuasa.

“Tidak ada yang saya anggap sebagai ‘berpatah arang, berkerat rotan’, terimalah hakikat politik banyak kemungkinan dan tidak ada yang kekal dalam politik,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) di Kinarut dekat sini kelmarin (28 Mac).

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai hubungan antara BN dan BERSATU di peringkat Pusat, serta pandangan mengenai keadaan kerjasama kedua-dua parti itu di Sabah.

Annuar berkata setiap dasar yang diputuskan dalam parti pada satu-satu masa jangan dianggap sebagai kekal, kerana berkemungkinan perkara itu berubah dan dalam politik perlu sentiasa bersikap pragmatik untuk maju ke hadapan.

“Pada masa ini, UMNO dan BN kita ada keputusan dasar telah dibuat pada Perhimpunan Agung UMNO, maka itulah dasar semasa dan ahli parti berpeganglah pada dasar itu…

“Tetapi bila kita bergerak ke hadapan, pucuk pimpinan kita mungkin berdepan situasi berbeza dan kita boleh berbincang,” katanya sambil menambah, beliau yakin pimpinan setiap parti politik mempunyai formula terbaik untuk berdepan pilihan raya.