ADSI TANDATANGAN MOU BERSAMA SOGDC BANGUN LOJI GAS DI SOGIP | Sabah News

ADSI TANDATANGAN MOU BERSAMA SOGDC BANGUN LOJI GAS DI SOGIP | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menyaksikan pertukaran MoU diantara Haji Kadir Damsal dan Encik Mazlan (tiga dari kanan), Johan (dua dari kanan)…

KOTA KINABALU, SABAH – Memorandum Persefahaman (MoU) diantara Sabah Oil & Gas Development Corporation Sdn Bhd (SOGDC) dan ADSI Engineering Sdn Bhd bagi membangun loji kuasa gas di Sipitang Oil and Gas Industrial Park (SOGIP) telah ditandatangani hari ini.

Menyaksikan majlis tersebut ialah Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor sempena Majlis Sambutan Setahun Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) di Sabah International Convention Centre (SICC) tengah hari tadi.

ADSI diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Mazlan Abu Bakar dan Pengarahnya, Ts. Johan Mohamad, sementara SOGDS diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Tuan Haji Kadar Haji Damsal dan Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Perindustrian, Encik Benedict Bisoni selaku saksi.

Menurut Mazlan, ADSI akan membangunkan gas power plant berkapasiti 200MW di SOGIP, dengan kos bernilai lebih RM900 juta.

Katanya, projek itu untuk menyediakan penjanaan kuasa yang mampan kepada SOGIP dan industri petrokimia.

“Kerja-kerja pembinaan dijangka bermula pada akhir tahun ini dan sekarang kita akan teruskan dengan reka bentuk asal seperti yang telah dirancang…

“Kita sedang melihat kemampuan untuk menjana 200 megawatt (MW) pada tahun 2024 tetapi mengikut rancangan asal, kita mahu menjanakan 400MW. Apa pun perkembangan adalah berdasarkan kepada permintaan Kerajaan Negeri,” katanya.

Menrutnya, setakat ini, hanya pihak mereka yang mempunyai loji jana kuasa gas di SOGIP dan pembinaan kemudahan pengegasan semula (regasification facility) pada tahun 2024 di Sipitang sudah dalam perancangan.

“Bekalan tenaga elektrik akan dijanakan daripada gas yang dikumpul pada logi Sipitang itu sendiri.

“Kami ada banyak lagi dalam perancangan namun semuanya bergantung jika pembekal tempatan mampu berikan harga yang berpatutan. Jika tidak, kita terpaksa import.

“Pelbagai peluang pekerjaan akan tersedia untuk penduduk di Sabah berikutan pelaksanaan projek-projek ini, khususnya bagi daerah Sipitang,” katanya.

Mazlan berkata sekurang-kurangnya 100 orang tempatan diperlukan untuk bahagian pengoperasian satu loji gas tersebut sahaja.

“Latihan industri akan diberikan,” katanya sambil menambah kerja-kerja pembinaan pada akhir tahun ini pula memerlukan tenaga kerja hampir 400 orang selama tempoh dua tahun.