Vaksin COVID-19 Buatan Malaysia Belum Boleh Dikomersialkan | Sabah News

Vaksin COVID-19 Buatan Malaysia Belum Boleh Dikomersialkan | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

Gambar Hiasan…

KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata vaksin Covid-19 yang sedang dihasilkan di negara ini belum boleh dikomersialkan.

Jelas beliau, ini berikutan calon-calon vaksin Covid-19 itu perlu menjalani proses penyelidikan dan pembangunan (R&D), kajian praklinikal, kajian klinikal dan pengilangan.

“Setiap langkah penghasilan vaksin perlu mematuhi peraturan dan piawaian Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan juga di peringkat antarabangsa, katanya ketika sesi soal jawab pada persidangan Dewan Negara.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Paul Igai yang ingin tahu status proses pembuatan vaksin Covid-19 tempatan ketika ini serta senarai vaksin yang telah dibuat dan dikomersialkan oleh Malaysia.

Ahmad Amzad berkata negara kini sedang membangunkan dua jenis vaksin Covid-19 iaitu vaksin yang dilemahkan dan vaksin berasaskan teknologi Messenger Asid Ribonukleik (mRNA).

Beliau berkata, status bagi penghasilan vaksin yang dilemahkan kini berada di peringkat kajian praklinikal untuk tujuan pembuktian konsep yang bermula Februari 2022 dan dijangka siap pada Julai 2022, kemudian analisis data akan dijalankan yang dijangka berakhir Disember tahun ini.

“Bagi teknologi vaksin berasaskan mRNA, ia berada di peringkat makmal iaitu in-vitro transcription ke atas sel kultur pertama yang bermula pada Jun 2021 dan dijangka siap pada Disember 2022.

“Sekiranya, pembuktian konsep kedua-dua vaksin ini berjaya, pelaksanaan penghasilan vaksin ini akan diteruskan melalui makmal yang diakredetasikan sebagai Amalan Makmal Baik (GLP) dan Amalan Pengilangan Baik (GMP),” katanya, lapor Bernama.