Usaha Tanpa Kenal Putus Asa, Izhharuddin Raih Sarjana Muda Kelas Pertama | Sabah News

Usaha Tanpa Kenal Putus Asa, Izhharuddin Raih Sarjana Muda Kelas Pertama | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

Mohd Izhharuddin Ismail…

KOTA KINABALU, SABAH – Usaha tanpa mengenal putus asa menjadi prinsip kejayaan anak kelahiran Labuan, Mohd Izhharuddin Ismail, 25, penerima anugerah Kelas Pertama Ijazah Sarjana Muda Kewangan Antarabangsa, Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Menurutnya, kesemua mata pelajaran mempunyai cabaran dan kesukaran tersendiri, namun ia perlu dihadapi dengan usaha gigih.

“Jangan kita cepat berputus asa, biasakan diri untuk bertanya jika tidak tahu.

“Jangan takut untuk salah. Sentiasa berusaha dan befikiran positif bahawa kita mampu melalui apa pun juga cabaran dan kesukaran yang dihadapi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menerima skrol ijazah pada Sidang 2 , Majlis Konvokesyen UMS ke-22, pada Ahad.

Menurut Izhharuddin, ibu bapa dan rakan-rakan juga merupakan tulang belakangnya sehingga berjaya mencatatkan keputusan cemerlang dengan himpunan purata nilai gred (CGPA) 3.73.

“Tiga tahun yang dilalui bukanlah mudah.

Pencapaian ini adalah hasil sokongan dan doa ibu bapa yang tidak putus-putus memberikan kata-kata semangat.

“Selain itu, pemilihan rakan juga penting. Rakan-rakan yang baik mempengaruhi fokus saya untuk mengekalkan prestasi akademik sepanjang pengajian di UMS,” jelas Izhharuddin.

Menurut anak kedua dari enam adik beradik itu, pada asalnya beliau merupakan seorang pelajar jurusan Sains Tulen ketika di peringkat sekolah menengah.

“Namun, saya melanjutkan pengajian dalam jurusan Ekonomi di peringkat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

“Saya mula berminat dengan bidang perniagaan semasa berada di Tingkatan 6, dan sejak dari itu saya memilih untuk melanjutkan pengajian ke program Kewangan Antarabangsa di peringkat peringkat Ijazah Sarjana Muda.

“Justeru, pada kesempatan ini, saya ingin menyeru kepada generasi muda agar sentiasa menanamkan tekad untuk melanjutkan pengajian hingga ke peringkat yang lebih tinggi,” tambahnya sambil memaklumkan ilmu dan pengalaman semasa menjadi pelajar UMS sebagai satu pengalaman berharga yang tidak akan dilupakan.