Penangguhan CIQ Kalabakan Akan Rugikan Ekonomi Sabah – Bung | Sabah News

Penangguhan CIQ Kalabakan Akan Rugikan Ekonomi Sabah – Bung | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin…

KALABAKAN, SABAH – Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, Sabah perlu menyediakan kemudahan asas seperti Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) dan Lebuhraya Trans-Borneo menghubungkan Sabah-Kalimantan  bagi memperoleh faedah ekonomi ekoran pembangunan Kalimantan Timur sebagai ibu negara baharu Indonesia.

Bagaimanapun, keputusan menangguhkan pembinaan CIQ bernilai RM600 juta di Serudong di sini, dilihat bakal merugikan ekonomi Sabah, terutama kawasan pantai timurnya yang bakal mendapat tempias ekonominya.

Sehubungan itu beliau memohon kerajaan Persekutuan untuk menarik balik penangguhan itu kerana CIQ Kalabakan dilihat akan menjadi antara pintu masuk utama Sabah dan Kalimantan Utara seterusnya memberikan limpahan ekonomi terutama kepada penduduk setempat.

“Sudah terlalu lama Sabah ketinggalan daripada sektor ekonomi berbanding Semenanjung walaupun hakikatnya kita menyumbang hasil yang banyak, apabila ada projek yang baik diumumkan, kerajaan pula menangguhkan atas alasan tiada peruntukan.

“Alasan ini tidak boleh diterima kerana CIQ itu akan membantu lonjakan ekonomi Sabah kesan daripada perpindahan ibu kota Indonesia di Kalimantan…

ini (penangguhan) amat mengejutkan lebih-lebih lagi projek berkenaan telah pun bermula dan berjalan dengan lancar,” katanya dalam kenyataan semalam.

Bung Moktar berkata, sekiranya keputusan penangguhan itu diteruskan maka Sabah dilihat akan terus ketinggalan terutama daripada segi ekonomi meskipun peluang untuk memajukan ekonomi itu sudah terbuka di depan mata.

Rabu lalu, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof ketika menjawab secara bertulis soalan Ma’mun Sulaiman (Warisan-Kalabakan) di Parlimen, dilaporkan berkata, bahawa CIQ Kalabakan ditangguhkan berikutan tiada peruntukkan diberikan Kementerian Kewangan.