PEDi Memperkasakan Aktiviti Masyarakat Luar Bandar Sabah | Sabah News

PEDi Memperkasakan Aktiviti Masyarakat Luar Bandar Sabah | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

Tan Sri Annuar berucap semasa lawatan kerja ke Kg Langkuas hari ini…

PAPAR, SABAH – Kerajaan menerusi Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) bermatlamat untuk memperkasakan aktiviti setempat masyarakat luar bandar melalui tujuh Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) yang sedia ada di Sabah.

Menterinya, Tan Sri Annuar Haji Musa berkata, sasaran Kerajaan adalah untuk mewujudkan satu PEDi di setiap Dewan Undangan Negeri demi melahirkan dan memperkasa usahawan kecil ke arah pendigitalan di samping membangunkan kemahiran penggunaan Internet dan penglibatan e-dagang.

Tujuh PEDi di Sabah berada di Kg. Langkuas Kinarut, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Kinarut Ria dan Kg. Kuala di Papar dan di Kg. Desa Aman, Kg. Mesilau, Kg. Bongkud dan Kg. Lohan di Ranau.

“Terdapat 909 PEDi yang sedia ada di seluruh negara dan sebanyak 2 PEDi baharu akan dibuka sebelum Mei 2022…

“Menjelang penghujung tahun hadapan pula, sebanyak 173 PEDi lagi akan beroperasi sekaligus menjadikan sebanyak 1,083 PEDi beroperasi di seluruh negara,” katanya semasa lawatan beliau ke Kg Langkuas sini pagi tadi.

PEDi Kampung Langkuas, Papar…

Menurutnya, setiap PEDi masing-masing dilengkapi dengan akses perkhidmatan jalur lebar, kemudahan infrastruktur digital serta kakitangan terlatih untuk memberi perkhidmatan dan sokongan yang diperlukan oleh komuniti setempat.

“Kesemua tujuh PEDi di Sabah tersebut terus memainkan peranan sebagai pusat sehenti dalam membangun sosioekonomi penduduk di sini selain merancakkan ekonomi setempat,” tambahnya.

K-KOMM dipertanggungjawab untuk menerajui program Pemerkasaan Pendigitalan Usahawan Kecil di PEDi yang bermatlamat untuk mendorong 800,000 usahawan kecil beralih kepada pendigitalan menjelang tahun 2025.

Usahawan-usahawan yang berjaya akan diangkat sebagai Ikon Usahawan agar dapat memberi motivasi atau menyemarakkan semangat kepada mereka yang berminat untuk menceburi bidang keusahawanan.

“Setiap PEDi akan mempunyai Panel Penasihat yang terdiri dari wakil komuniti, pertubuhan bukan kerajaan dan persatuan peniaga yang kesemuanya akan berganding bahu menjadi seperti jemaah pentadbir supaya mampu memperkasa komuniti di sesebuah kawasan luar bandar.

“Selain itu, seramai 600 Rakan Digital PEDi akan dilantik untuk menjalankan program-program yang dianjurkan oleh pelbagai agensi kerajaan dan swasta…

“Kesemua aktiviti ini akan dipantau oleh Panel Penasihat di setiap PEDi agar program-program yang dijalankan mendapat sambutan positif dari aspek penyertaan masyarakat setempat,” jelasnya.

Terdapat seramai 2,767 usahawan aktif PEDi di negeri Sabah.

Annuar terus menggesa masyarakat Ranau dan Papar untuk merebut peluang keemasan itu dan manfaatkan kemudahan serta latihan-latihan yang disediakan oleh PEDi.

Dalam pada itu, beliau juga telah menyerahkan sebanyak 200 kad sim Pakej Remaja Keluarga Malaysia kepada penerima yang layak pada kedua-dua daerah terbabit manakala golongan remaja akan mendapat data 20GB percuma untuk tiga (3) bulan.