Lebih Ramai Wanita Sabah Berpotensi Memegang Jawatan Tinggi – Shahelmey | Sabah News

Lebih Ramai Wanita Sabah Berpotensi Memegang Jawatan Tinggi – Shahelmey | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

Shahelmey menerima cenderahati daripada Tarsiah…

KOTA KINABALU, SABAH – Webinar ‘Kesaksamaan Bersama Untuk Kelestarian’ anjuran Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS) bersama Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) memperkasakan dan membolehkan masyarakat lebih prihatin tentang perihal kesejahteraan wanita.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Ir. Shahelmey Yahya dalam ucapannya berkata, berdasarkan Skor Malaysia dalam Indeks Jurang Gender Global 2021, keterlibatan wanita khususnya dalam bidang ekonomi dan politik masih lagi rendah.

Beliau memetik ucapan Perdana Menteri Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, pada Majlis Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 8 Mac lalu.

“Kadar penyertaan wanita dalam pekerjaan masih rendah iaitu 55 peratus berbanding lelaki iaitu 80 peratus…

“Kadar pengangguran dalam kalangan wanita di Malaysia juga turut meningkat iaitu sebanyak 307,000 orang pada suku pertama tahun 2021, berbanding 215,700 orang pada tempoh yang sama tahun 2020.

“Situasi ini begitu membimbangkan serta memberi tekanan amat besar kepada kehidupan wanita terutama mereka yang mengetuai isi rumah, apabila terpaksa mengimbangi dwi-peranan mengurus rumahtangga dan pada masa yang sama mencari nafkah untuk seisi keluarga,” katanya di Wisma Wanita hari ini.

Tegas beliau, melalui sudut jurang gender yang ketara dalam bidang pembuat keputusan tidak kira politik atau kepimpinan sebenarnya adalah kerugian kepada negara yang perlu kita tangani secara bersepadu dan menyeluruh.

“Saya, yakin dan percaya jika diberikan peluang dan ruang pastinya ramai wanita yang berkaliber dan berpotensi untuk memegang jawatan tinggi dalam sesebuah organisasi.

“Penglibatan golongan wanita ini dalam organisasi pentadbiran pastinya boleh membawa perubahan yang besar kepada dasar mahupun undang-undang bagi menyumbang kepada pembangunan keluarga, masyarakat dan negara,” tambahnya.

Webinar tersebut dikendalikan oleh moderator iaitu Datuk Dr.Hajjah Tarsiah yang merupakan juga Pengerusi Induk MPWS bagi penggal 2021-2022.

Terdapat seramai tujuh (7) orang penceramah terdiri daripada Ahli Induk MPWS serta sebahagian AJK Kecil MPWS yang telah berkongsi kepada hadirin berkenaan konsep dan kepentingan kesaksamaan bersama dari sudut pandang jawatankuasa masing-masing.