Keluarga Mangsa Dan Pasukan Penyelamat Nahas Pesawat China Eastern Airlines Berkabung | Sabah News

Keluarga Mangsa Dan Pasukan Penyelamat Nahas Pesawat China Eastern Airlines Berkabung | Sabah News

Kongsikan Berita Ini





Tangkap layar video, kakitangan dari ibu pejabat kecemasan negara dan pekerja penyelamat serta keluarga mangsa berkabung bagi memperingati 132 mangsa pesawat MU5735, di lokasi nahas di daerah Tengxian, Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang China Selatan. – Foto IC

NANNING, CHINA – Bagi memperingati 132 mangsa tragedi pesawat China Eastern Airlines yang terkorban, satu upacara berakbung telah diadakan di lokasi nahas semalam.

Keluarga mangsa dengan pasukan penyelamat bertafakur selama tiga minit di lokasi kejadian.

Kedengaran juga bunyi hon bergema di seluruh kawasan pergunungan di daerah Tengxian, Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang, selatan China.

Pesawat Boeing 737 yang berlepas dari Kunming di barat daya China menuju ke Guangzhou, terhempas di kawasan pergunungan daerah Tengxian, Guangxi pada 21 Mac.

“Dengan penuh dukacita, kami mengumumkan 123 penumpang dan sembilan anak kapal pesawat China Eastern Airlines Penerbangan MU5735 telah terkorban…

“Kami amat sedih dengan kehilangan 132 nyawa dan bersimpati kepada keluarga mangsa,” kata timbalan komander yang juga timbalan ketua Pentadbiran Penerbangan Awam China, Hu Zhenjiang pada Sabtu.

Sementara itu, seramai 357 ahli keluarga mangsa telah diberikan kaunseling psikologi setakat tengah hari Ahad.

Pasukan bantuan psikologi terdiri 99 profesional itu juga bertanggungjawab memberi kaunseling kepada anggota penyelamat.