Cadangan FELCRA Labur RM50 Juta Tidak Dimaklum Kepada CEO Kerana Wujud ‘Perang Dingin’ – Saksi | Sabah News

Cadangan FELCRA Labur RM50 Juta Tidak Dimaklum Kepada CEO Kerana Wujud ‘Perang Dingin’ – Saksi | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen semalam (28 Mac) diberitahu bahawa cadangan Felcra untuk melabur RM50 juta dalam unit amanah Public Mutual Berhad, dibuat tanpa pengetahuan bekas Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO) Datuk Ramlee Abu Bakar kerana wujud ‘perang dingin’ dalam agensi berkenaan (FELCRA).

Bekas Pengurus Besar Kumpulan Kewangan (CFO) Mohd Azmy Abu Samah, 54, berkata beliau tidak memaklumkan mengenai cadangan pelaburan itu, selepas mengadakan perbincangan dengan Ketua Pegawai Pelaburan (CIO) Datuk Zulkarnain Md Eusope.

“Apabila saya berbincang dengan CIO (Zulkarnain) saya katakan perkara ini, (cadangan pelaburan) perlu dibawa kepada Majlis Pengurusan Tertinggi (MPT) tetapi Zulkarnain berkata jika melalui CEO (Datuk Ramlee), beliau tidak akan proses kerana kononnya ia daripada Datuk Seri Bung Moktar Radin, yang ketika itu pengerusi FELCRA…

“Datuk Zulkarnain masuk setahun awal daripada saya, jadi beliau lagi arif dengan ‘budaya’ di Felcra. Beliau nasihatkan saya mengenai ‘cold war’ antara ‘old team’ dan ‘new team’. Saya masih baru, ada kemungkinan hubungan pengerusi (Bung Moktar) dan CEO (Ramlee) kurang menarik,” katanya.

Saksi pendakwaan ke-26 itu berkata demikian semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Sophian Zakaria, pada perbicaraan kes rasuah membabitkan Bung Moktar dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Menyentuh mengenai adakah perkara ini dimaklumkan kepada CEO yang ketika itu ialah Ramlee, Mohd Azmy berkata beliau tidak memaklumkannya tetapi mungkin Pengurus Kanan Kawalan Kredit Felcra Azriman Ridouan, yang memberitahu perkara tersebut kepada Ramlee.

Menurut Mohd Azmy, pelaburan berkaitan pertanian atau perniagaan utama akan dibawa ke MPT tetapi pelaburan RM50 juta tidak dibawa ke MPT, kerana CEO tidak arif dalam bidang berkenaan (pelaburan).

Mohd Azmy berkata beliau mendengar nasihat Zulkarnain walaupun sama pangkat dengannya, kerana beliau mendapat tahu bahawa cadangan pelaburan sebelum ini dimasukkan ke dalam ‘cold storage’ apabila ia diserahkan kepada Ramlee.

Disoal Mohd Sophian adakah cadangan pelaburan itu dimaklumkan kepada Ramlee, saksi itu menjawab, “Saya tidak maklumkan cadangan pelaburan itu kepada Ramlee, namun saya tidak pasti Azriman ada memaklumkan mengenai perkara itu.”

Sementara itu, Mohd Azmy memberitahu mahkamah bahawa Bung Moktar ada memintanya untuk melihat sama ada ada Felcra boleh membuat pelaburan berkenaan, sebulan selepas perunding unit amanah Norhaili Ahmad Mokhtar, datang ke pejabatnya dan membuat pembentangan mengenai pelaburan tersebut.

“Selepas pertemuan dengan Norhaili di pejabat, Datuk Bung ada tanya dia (Norhaili) ada datang atau tidak. Saya beritahu dia ada datang dan buat pembentangan (mengenai produk unit amanah). Saya beritahu setakat ini saya tidak boleh buat apa-apa, kerana pada waktu itu tengah sibuk dengan praaudit dan belanjawan untuk tahun depan…

“Selepas itu, Datuk Bung beritahu saya, tengok-tengokkanlah kalau boleh..,” katanya yang turut memaklumkan Bung Moktar telah memperkenalkan Norhaili kepadanya ketika beliau hadir pada majlis jamuan hari raya di rumah Ahli Parlimen Kinabatangan itu.

Disoal Mohd Sophian apakah tindakan lanjut Mohd Azmy selepas menerima arahan daripada Bung Moktar supaya ‘tengok-tengok’ (pelaburan unit amanah Public Mutual) itu, Mohd Azmy berkata beliau terus meminta Azriman supaya membuat kajian berhubung pelaburan unit amanah, serta melihat keadaan pasaran unit
amanah, situasi bursa dan perbandingan dengan syarikat-syarikat lain.

“Hasil analisis tersebut mendapati keadaan pasaran pada ketika itu telah jatuh, dan ini adalah masa terbaik untuk membuat pelaburan dalam unit amanah,” katanya.

Saksi itu berkata beliau kemudian mengambil pendekatan untuk melihat kedudukan kewangan FELCRA, setelah dimaklumkan oleh Azriman bahawa ejen pelaburan Public Mutual Madhi Abdul Hamid, ada bertanyakan sama ada Felcra berminat untuk membuat pelaburan dalam unit amanah.

“Saya meminta Azriman dan Mariah Husain (pengurus besar kewangan Felcra) untuk membuat simulasi, dan menyediakan kertas kerja cadangan untuk pelaburan unit amanah itu,” katanya.

Prosiding bersambung hari ini (29 Mac).

Untuk rekod pada 3 Mei 2019, Bung Moktar, 64, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.2 juta dan RM262,500, sebagai dorongan mendapatkan kelulusan FELCRA untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Zizie Izette iaitu isteri kepada Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin, hadir ke Mahkamah Kuala Lumpur pada 27 Jan yang lalu bagi bicara kes berhubung pelaburan bagi mendapatkan kelulusan FELCRA membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual depan Hakim Rozina Ayob…(Sumber Foto: BERNAMA)

Bung Moktar yang merupakan Pengerusi Bukan Eksekutif FELCRA ketika itu, didakwa menerima rasuah daripada Madhi menerusi Zizie Izette di Public Bank cawangan Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari dan 5 petang 12 Jun 2015.

Beliau juga mengaku tidak bersalah menerima suapan wang tunai RM335,500 daripada Norhaili di bawah nama Zizie Izette atas sebab serupa dan di tempat sama pada 19 Jun 2015 manakala Zizie Izette, 44, mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa yang sama.

– BERNAMA