Lebih Satu Juta Haiwan Dibunuh Agensi AS Pada 2021 | Sabah News

Lebih Satu Juta Haiwan Dibunuh Agensi AS Pada 2021 | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

Gambar sekadar hiasan…

WASHINGTON, AS –Kumpulan-kumpulan pemuliharaan alam sekitar naik bengang setelah mendapati bahawa sejumlah 1.75 juta haiwan di seluruh negara telah dibunuh sebuah organisasi di bawah seliaan Jabatan Pertanian Amerika Syarikat (AS) pada 2021.

Menurut laporan The Guardian, jumlah tersebut adalah bersamaan kira-kira 200 haiwan yang dibunuh pada setiap jam.

Pembunuhan haiwan merupakan sebahagian daripada program hidupan liar persekutuan yang menyasarkan serigala, koyote, kugar, burung dan haiwan lain bagi membuka laluan kepada industri pertanian di beberapa negeri termasuk Texas, Colorado serta Idaho.

Data baharu yang dikeluarkan menerusi program itu menunjukkan organisasi tersebut, Perkhidmatan Hidupan Liar membunuh antaranya, sebanyak 324 serigala kelabu, 64,131 koyote, 433 beruang hitam, 200 singa gunung, 605 kucing hutan, 3,014 musang, 24,687 memerang dan dan 714 memerang sungai pada tahun lalu.

Pembunuhan itu dilakukan bagi melindungi hasil pertanian, spesies terancam dan manusia.

Menurut Perkhidmatan Hidupan Liar, pihaknya hanya menyasarkan spesies invasif tertentu yang dianggap sebagai memberi ancaman kepada ekosistem tempatan seperti babi liar dan tikus paya gergasi dipanggil nutria.

“Memang menimbulkan kemarahan apabila melihat program persekutuan menghapuskan ratusan ribu haiwan asal negara ini.

“Membunuh karnivor seperti serigala dan anjing hutan yang kononnya untuk memberi manfaat kepada penternak hanya membawa kepada lebih banyak konflik dan pembunuhan…

“Ia adalah kitaran ganas dan kami menuntut Perkhidmatan Hidupan Liar melakukan perubahan,’’ kata pengarah pemuliharaan karnivor di Pusat Kepelbagaian Biologi, Collette Adkins.

Jumlah haiwan asal yang dilaporkan dibunuh pada 2021 adalah menyamai  433,192 ekor haiwan  yang dibunuh pada 2020.