Kemungkinan Rusia Menggunakan Senjata Nuklear Semakin Nyata | Sabah News

Kemungkinan Rusia Menggunakan Senjata Nuklear Semakin Nyata | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

Presiden A.S. Joe Biden bercakap dengan Canselor Jerman Olaf Scholz dan Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida semasa G7 di Ibu Pejabat NATO di Brussels, Belgium…

TOKYO, JEPUN – Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida berkata kemungkinan Rusia menggunakan senjata nuklear adalah “semakin nyata”.

Sumber Reuters memetik beliau berkata demikian ketika mengalu-alukan lawatan duta Amerika Syarikat ke bandar pertama dunia yang mengalami serangan nuklear, Hiroshima, pada Sabtu.

Jepun merupakan satu-satunya negara yang diserang oleh senjata atom dan kerap bersuara menentang persenjataan nuklear.

Kishida, yang juga mewakili Hiroshima di parlimen, melawat tugu peringatan dan muzium keamanan bandar itu pada hari bersama Rahm Emanuel.

“Apabila kemungkinan penggunaan senjata nuklear oleh Rusia semakin nyata, saya percaya lawatan Duta Emanuel ke Hiroshima dan pengalamannya melihat realiti nuklear akan menjadi mesej yang kuat kepada masyarakat antarabangsa,” kata Kishida kepada berita tempatan NHK.

“Saya percaya lawatan kami hari ini amat bermakna,” tambahnya.

Beliau berkata perang Rusia di Ukraine menunjukkan kesukaran mewujudkan dunia tanpa senjata nuklear.

Presiden Putin baru-baru ini secara tidak langsung mengugut serangan nuklear terhadap Ukraine.

Dia memberi amaran, sebelum melancarkan pencerobohannya pada 24 Februari, bahawa sesiapa yang menghalang Rusia akan menghadapi “akibat yang tidak pernah dilihat dalam sejarah”.

Kenyataan itu dianggap oleh beberapa pemimpin sebagai ancaman untuk menggunakan senjata nuklear.

Jurucakap Kremlin (Kerajaan Rusia) Dmitry Peskov berkata pada hari Rabu bahawa Rusia akan tidak teragak-agak menggunakan senjata nuklear hanya untuk menentang “ancaman yang wujud demi negara kita”.

Pemimpin-pemimpin G7 (forum tujuh negara utama kuasa perindustrian dunia) pada Khamis memberi amaran kepada Rusia supaya tidak menggunakan senjata biologi, kimia atau nuklear dalam peperangannya dengan Ukraine.