Kajian Mendapati 27 Peratus Wanita Di Seluruh Dunia Jadi Mangsa Keganasan Domestik | Sabah News

Kajian Mendapati 27 Peratus Wanita Di Seluruh Dunia Jadi Mangsa Keganasan Domestik | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

Gambar Hiasan…

KANADA – Menurut satu kajian, 27 peratus peratus wanita di seluruh dunia menjadi mangsa keganasan pasangan masing-masing sebelum usia mereka mencecah 50 tahun.

Perkara itu didedahkan dalam satu kajian yang diterbitkan dalam jurnal perubatan, The Lancet oleh pasukan penyelidik Universiti McGill dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) itu melibatkan lebih 2 juta wanita di 161 buah negara.

Sebagai tambahan, kajian sama menunjukkan tahap keganasan yang tinggi berlaku terhadap wanita muda. Kira-kira 24 peratus daripada mereka yang berusia antara 15 hingga 19 tahun melaporkan pernah menjadi mangsa keganasan domestik sepanjang hidup mereka.

Pasukan penyelidik berkenaan berkata, walaupun jumlah itu membimbangkan, skala keganasan sebenar mungkin lebih tinggi memandangkan kajian itu berdasarkan pengalaman yang dilaporkan sendiri oleh mangsa.

Sesetengah wanita mungkin keberatan untuk melaporkan pengalaman mereka kerana stigma masyarakat, jelas mereka.

“Keganasan oleh pasangan terhadap wanita termasuk penderaan fizikal dan seksual melibatkan suami, teman lelaki dan pasangan lain.

Ia sangat berleluasa di dunia,’’ kata profesor di Universiti McGill, Maheu-Girox, lapor Wion News.

Menurut penyelidik berkenaan, terdapat perbezaan dari segi keganasan antara negara berpendapatan tinggi dan rendah.

“Secara keseluruhan, penyelidikan kami menunjukkan bahawa kerajaan tidak berada pada landasan yang betul untuk memenuhi sasaran global dalam menghapuskan keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan.

“Satu perkara penting adalah walaupun di sesetengah negara berpendapatan tinggi, keganasan terhadap pasangan adalah agak tinggi. Ini memerlukan pelaburan dalam pencegahan di peringkat tempatan dan global,’’ kata Maheu-Girox lagi.