Vaksinasi Di Rumah Untuk Warga Emas Yang Tidak Dapat Hadir Ke PPV | Sabah News

Vaksinasi Di Rumah Untuk Warga Emas Yang Tidak Dapat Hadir Ke PPV | Sabah News

Kongsikan Berita Ini





KUALA LUMPUR – ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (ProtectHealth) akan menyediakan perkhidmatan vaksinasi terus ke rumah dikenali sebagai Home Vaccination kepada warga emas yang tidak dapat hadir ke pusat pemberian vaksin (PPV) berikutan masalah logistik.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Dr Anas Alam Faizli dalam satu kenyataan memaklumkan perkhidmatan itu disediakan bagi memperluas dan mempercepatkan vaksinasi dos penggalak, sebelum keistimewaan sijil vaksinasi penuh ditarik semula daripada penerima vaksin yang tidak mendapatkan dos penggalak sehingga 31 Mac ini.

“Sebagai alternatif, orang ramai boleh menghantar teks melalui applikasi WhatsApp di talian +6012-6787911 dan mereka akan menerima maklum balas dalam masa satu hingga tiga hari. Ini adalah usaha kerjasama antara ProtectHealth dan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) dalam menyeru semua warganegara atau bukan warganegara Malaysia mendaftarkan tanggungan warga emas mereka yang tidak dapat hadir ke PPV,” katanya.

Dr Anas juga berkata pendaftaran boleh dilakukan melalui laman sesawang ProtectHealth iaitu https://vaksincovid.protecthealth.com.my/register_vaccinee, serta aplikasi MySejahtera di bahagian Meja Bantuan dengan memilih pilihan A iaitu Janji Temu Vaksinasi Penggalak.

“Menerusi program Home Vaccination ini, kami ingin memberikan kemudahan dan pengalaman yang lancar serta selesa kepada warga emas yang tidak dapat hadir ke PPV…

“Walaupun gelombang Omicron dilihat tidak agresif seperti gelombang Delta, bagi warga emas khususnya yang mempunyai komorbiditi ia bukanlah penyakit ringan kerana boleh membawa maut. Oleh itu, kami menyeru orang ramai untuk memastikan ibu bapa anda dilindungi daripada virus COVID-19,” katanya.

– BERNAMA