Tiada Lesen Bagang, Sembilan Individu Ditahan | Sabah News

Tiada Lesen Bagang, Sembilan Individu Ditahan | Sabah News

Kongsikan Berita Ini





KUDAT, SABAH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Kudat menahan 9 individu warga tempatan dalam satu operasi terhadap 5 buah peranti menangkap ikan atau dikenali bagang ikan bilis di kawasan sekitar Tanjung Limau-Limauan sini pada Khamis.

Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Boon Chin Chau berkata sebuah bot ronda Zon Maritim Kudat telah diatur gerak bagi membuat pemantauan serta pemeriksaan keatas bagang-bagang ikan bilis yang terdapat di sekitar perairan berkenaan dalam operasi yang bermula jam 10.00 malam hingga 12.00 tengah malam.

“Sebanyak lima buah peranti bagang telah diperiksa di lokasi timur Tanjung Limau-Limauan Kudat…

“Hasil daripada pemeriksaan tersebut, sembilan (9) individu warga tempatan berumur lingkungan antara 19 hingga 35 tahun telah ditahan kerana gagal menunjukkan dokumen diri yang sah semasa diperiksa.

“Hasil pemeriksaan juga mendapati kesemua peranti bagang yang diperiksa dipercayai tidak mempunyai lesen bagang,” katanya dalam sebuah kenyataan.

Semua yang ditahan dibawa masuk ke Jeti Marina Kudat dan diserahkan kepada pegawai penyiasat APMM untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat dibawah Akta Pendaftaran Negara 1959 dan Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 kerana tidak membawa Kad Pengenalan semasa diperiksa serta Akta Perikanan 1985 kerana tidak mempunyai lesen Bagang,” tambah Boon.