Peperiksaan SPM 2021 Bagi Sesi Kedua Akan Bermula Pada 5 April Sehingga 19 Mei | Sabah News

Peperiksaan SPM 2021 Bagi Sesi Kedua Akan Bermula Pada 5 April Sehingga 19 Mei | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

Gambar Hiasan…

SHAH ALAM, SELANGOR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan bahawa, Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 bagi sesi kedua akan dilaksanakan pada 5 April hingga 19 Mei ini.

Menurut KPM dalam satu kenyataan, peperiksaan tersebut akan melibatkan Ujian Bertutur dan Ujian Mendengar bagi Bahasa Melayu dan Inggeris, Ujian Pencapaian Bahasa Antarabangsa, Ujian Amali Sains serta Ujian Bertulis.

“Peperiksaan SPM tahun 2021 sesi kedua ini dilaksanakan bagi calon yang tidak dapat menduduki Ujian Bertutur dan Ujian Mendengar (Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris), Ujian Amali Sains dan Ujian Bertulis yang telah dilaksanakan pada 8 Februari hingga 29 Mac 2022.

“Calon tersebut adalah yang disahkan positif Covid-19, perlu menjalani tempoh kuarantin seperti yang diarahkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), calon yang terkesan akibat banjir atau kes-kes khas yang mendapat kelulusan Pengarah Peperiksaan.

“Lembaga Peperiksaan ingin mengingatkan semua calon yang terlibat dengan peperiksaan SPM tahun 2021 sesi kedua untuk menyemak, mengesahkan dan mencetak Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan yang mengandungi maklumat pusat peperiksaan yang ditetapkan, tarikh, masa, kod dan kertas peperiksaan mulai 1 April 2022 menerusi pautan https:/elp.moe.gov.my atau aplikasi e-Lembaga Peperiksaan yang boleh dimuat turun melalui Google Play Store,” kata kenyataan itu.

Dalam pada itu KPM turut mengingatkan calon untuk membawa dokumen pengenalan diri dan Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan yang dicetak ke pusat peperiksaan.

Calon juga perlu mematuhi Garis Panduan Pengurusan Pentaksiran Pusat dan Peperiksaan Awam yang terkandung dalam Gars Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 3.0 yang dikeluarkan oleh KPM serta prosedur operasi standard yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara dan KKM.

“Ketetapan ini adalah bagi memastikan kelancaran pengurusan peperiksaan dan pencegahan penularan wabak Covid-19 dan garis panduan tersebut boleh dimuat turun dari portal rasmi KPM.

“Jadual waktu peperiksaan SPM tahun 2021 sesi kedua serta arahan yang perlu dipatuhi semasa peperiksaan berlangsung boleh dimuat turun dari portal rasmi Lembaga Peperiksaan juga pada 1 April 2022,” katanya.

Ujian Bertutur Bahasa Melayu akan berlangsung pada 5 April; Ujian Bertutur Bahasa Inggeris (6 April); Ujian Mendengar Bahasa Melayu dan Inggeris (7 April sesi pagi); Ujian Pencapaian Bahasa Antarabangsa (7 April sesi petang); Ujian Bertulis (11 April hingga 18 Mei) dan Ujian Amali Sains (19 Mei).