Pengembara Antarabangsa Diingatkan Patuh SOP Selepas Pembukaan Semula Malaysia – AirAsia | Sabah News

Pengembara Antarabangsa Diingatkan Patuh SOP Selepas Pembukaan Semula Malaysia – AirAsia | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

Gambar Hiasan…

KUALA LUMPUR – AirAsia mengingatkan pengguna perkhidmatannya supaya mematuhi posedur operasi standard (SOP) untuk pengembara antarabangsa memasuki negara ini, susulan pengumuman terkini #ReopeningSafely oleh kerajaan Malaysia.

Dalam satu kenyataan malam tadi yang dipetik Bernama, syarikat penerbangan itu berkata pengembara tidak perlu memohon MyTravelPass untuk memasuki Malaysia selepas 1 April, 2022, tetapi pengembara asing masih dikehendaki untuk mendapatkan insurans perjalanan dan COVID-19 serta mestilah mematuhi semua protokol kesihatan yang ditetapkan di Malaysia ketika ini.

Menurut kenyataan itu, sebelum perlepasan, pengembara dikehendaki memuat turun dan mengaktifkan aplikasi MySejahtera dan melengkapkan borang praperlepasan menerusi butang “Traveller”, menghantar butiran vaksinasi mereka iaitu pengembara yang lengkap divaksinasi akan diberi kad pengembara digital elektronik untuk tujuan daftar masuk di lapangan terbang.

“Pengembara berumur tujuh tahun dan ke atas dikehendaki menjalani ujian PCR dua hari sebelum berlepas ke Malaysia dan memuat naik (keputusan ujian) ke MySejahtera, manakala kanak-kanak yang berumur enam tahun dan ke bawah tidak perlu menjalani ujian praperlepasan…

“Sementara itu, pengembara yang dijangkiti COVID-16 dalam tempoh enam hingga 60 hari sebelum perlepasan, dikehendaki untuk menjalani ujian RTK-Antigen profesional dua hari sebelum berlepas,” katanya.

Menurut kenyataan itu, pengembara berusia tujuh tahun dan ke atas dikehendaki mengambil ujian RTK-Antigen yang dibuat secara pofesional dalam tempoh 24 jam selepas tiba di Malaysia.

Pengembara dikehendaki mendaftar masuk di pintu masuk ketibaan menggunakan aplikasi MySejahtera dan mereka yangn telah divaksinasi lengkap dan didapati negatif, tidak perlu menjalani ujian lanjutan dan kuarantin selepas tiba di Malaysia.

Bagi pengembara yang meninggalkan Malaysia, AirAsia berkata mereka mestilah memeriksa sebarang sekatan perjalanan terbaharu atau keperluan khas negara destinasi, termasuk dokumen kesihatan seperti sijil ujian negatif COVID-19 dan bukti status vaksinasi penuh.

“Pengembara digalakkan untuk mendaftar secara kendiri di aplikasi AirAsia Super untuk meminimakan kontak fizikal dan kesesakan di lapangan terbang dan ini dapat dilakukan dengan mudah menggunakan aplikasi tersebut seawal 14 hari sebelum tarikh perlepasan anda…

“Dari 1 April, 2022, AirAsia akan mengehadkan perkhidmatan kaunter daftar masuknya hanya untuk kumpulan tetamu yang mendapat pengecualian di semua lapangan terbang di Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Tambah AirAsia, pengembara turut digalakkan untuk tiba awal di lapangan terbang supaya mempunyai masa yang cukup untuk melalui semua proses yang perlu dan dikehendaki memakai pelitup muka sebelum, semasa dan selepas penerbangan.