Kesatuan PBS Menjadi Tunjang Utama Parti – Jahid | Sabah News

Kesatuan PBS Menjadi Tunjang Utama Parti – Jahid | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

BERSATU …. Slogan keramat PBS ‘Bersatu, Bersatu, Bersatu’ dilaungkan bersama oleh Jahid bersama kepimpinan PBS yang hadir…

MATUNGGONG: Slogan keramat ‘Bersatu’ menjadi elemen terpenting bagi memastikan Parti Bersatu Sabah (PBS) terus utuh dan relevan di bumi Sabah.

Timbalan Presiden PBS, Datuk Jahid Jahim, berkata, kesatuan dalam kalangan ahli di peringkat akar umbi hingga ke peringkat Pusat menjadi tunjang utama kekuatan parti itu.

“Resepi kebersamaan, kesatuan, keyakinan rakyat, dan integiriti juga antara lain yang menjadi nadi perjuangan PBS selama ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) PBS N.5 Matunggong, di Dewan Serbaguna KDCA, Kampung Toporoi, dekat sini pada Jumaat.
Turut hadir Adun Tandek, Hendrus Anding, Ketua Exco Pemuda PBS Pusat, Christoper Mandut, Ketua Exco Wanita PBS Pusat, Datin Malianah Ugau, dan Pengerusi Penganjur, Marius Masain.

Katanya, sejak dahulu, elemen terpenting yang menjadi pegangan demi memajukan parti tersebut dan membela rakyat Sabah adalah slogan keramat PBS ‘Bersatu, Bersatu, Bersatu’.

“Niat dan cita-cita parti adalah murni dan tujuan jelas, iaitu bagi memastikan hak-hak rakyat Sabah sentiasa terbela,” kata Jahid, yang juga Wakil Rakyat Tamparuli.

Menurut beliau, walaupun selama ini PBS terpaksa berhadapan dengan pelbagai situasi dan senario politik yang berbeza-beza, namun sehingga kini, parti itulah yang sentiasa konsisten dari segi keputusan dan komitmen sehingga mampu bertahan selama 37 tahun tanpa gagal melaksanakan tuntutan-tuntutan perlembagaan parti.

Beliau menambah, lanskap politik di Malaysia kini telah berubah, kerana kini anak-anak muda seawal umur 18 tahun juga telah layak untuk mengundi bagi menentukan kerajaan.

Justeru, katanya, perlu dimaklumkan kepada anak-anak muda sekarang bahawa PBS relevan sejak dahulu, sekarang dan pada masa akan datang, di mana merekalah yang bakal meneruskan perjuangan parti itu nanti.

“Di sinilah peringkat peralihan untuk meremajakan parti, dan kita juga sedang dalam proses yang sama dengan mengambil pendekatan menubuhkan Gerakan Belia Beliawanis Bersatu (GBBB) sehingga ke akar umbi.

Mengenai pendirian PBS di dalam Gabungan Rakyat Sabah pula, katanya, PBS sentiasa menghormati kawan selagi kawan itu menghormati PBS, dan sentiasa memegang persefahaman sesama parti politik.

“Memang ramai juga yang ingin ‘bersahabat’ dengan PBS, ini menunjukkan bahawa parti ini akan menjadi satu pilihan yang sukar untuk ditolak suatu masa nanti,” katanya.

Jelas beliau, isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang telah menjadi prioriti dalam perjuangan PBS sejak dahulu, kini telah pun menerima respon positif di peringkat Dewan Rakyat, bagi mengembalikan kedaulatan dan hak negeri Sarawak dan Sabah dengan pengiktirafan MA63 dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Kini masa kita untuk meminta kesaksamaan pihak Persekutuan untuk menunaikan tuntutan-tuntutan yang sudah termaktub dalam MA63 tersebut,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Jahid berkata, rakyat Matunggong telah membuat satu pilihan yang tepat dengan mengangkat Datuk Julita Majungki sebagai Wakil Rakyat mereka.

Beliau percaya Matunggong berada di landasan yang betul dan akan pergi jauh ke hadapan, dan jika itu dikekalkan, mereka akan seiring sejalan dalam memastikan kemenangan PBS di kawasan ini pada Pilihanraya Negeri (PRN) akan datang.

Untuk rekod, DUN Matunggong mempunyai cawangan PBS yang paling banyak di antara semua kawasan DUN yang ada, iaitu sebanyak 225 cawangan.

Pada AGM tersebut, turut diadakan sesi pemilihan bagi menentukan kepimpinan parti di peringkat Bahagian.