Kerajaan Thailand Pendekkan Tempoh Kuarantin Bagi Pelawat Tidak Divaksin | Sabah News

Kerajaan Thailand Pendekkan Tempoh Kuarantin Bagi Pelawat Tidak Divaksin | Sabah News

Kongsikan Berita Ini





Gambar Hiasan…

BANGKOK, THAILAND – Pelawat yang tidak divaksin yang ingin memasuki negara Thailand hanya akan menjalani kuarantin wajib selama lima hari bermula 1 Paril ini.

Kerajaan Thailand, memutuskan akan memendekkan tempoh kuarantin wajib bagi pelawat tidak divaksin, lapor laman berita Thaiger.

Pelawat juga dikatakan tidak perlu lagi mengambil ujian tindak balas rantai polimerase transkripsi balikan (PCR) Covid-19 sebelum berlepas.

Peraturan baharu yang diberitakan di akhbar Royal Gazette itu hanya merupakan makluman awal dan pengumuman rasmi mengenainya akan diterbitkan pada akhir bulan ini.

Pelawat tidak divaksin boleh memasuki Thailand di bawah skim Kuarantin Alternatif di mana mereka mesti mengasingkan diri di mana-mana hotel yang diluluskan dan melakukan ujian Covid-19 sebelum dibebaskan.

Sebelum peraturan berkenaan disemak semula, pelawat tidak divaksin perlu menjalani tempoh kuarantin selama 10 hari.

Mereka yang divaksin sekurang-kurangnya 14 hari sebelum perjalanan menggunakan vaksin yang diiktiraf oleh kerajaan atau Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula boleh memasuki Thailand melalui skim pengecualian kuarantin Test & Go atau skim Sandbox.

Minggu lalu, Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 Thailand (CCSA) membuat keputusan untuk mengurangkan tempoh kuarantin dan membatalkan ujian Covid-19 yang perlu diambil 72 jam sebelum berlepas.

Sebelum berlepas ke Thailand, pelawat bagaimanapun mesti memohon kod QR Pas Thailand melalui laman web rasmi yang dikendalikan oleh Jabatan Hal Ehwal Konsular.