Kerajaan Pastikan Sekolah Daif Di Sekitar Sabah Akan Dinaiktaraf | Sabah News

Kerajaan Pastikan Sekolah Daif Di Sekitar Sabah Akan Dinaiktaraf | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

Datuk Arthur Joseph Kurup, Timbalan Menteri Kerja Raya menyerahkan bangunan baharu Sekolah Kebangsaan Inandung kepada Guru Besar pada hari ini. Pembinaan bangunan baharu SK Inandung merangkumi 6 unit bilik darjah, bangunan pentadbiran, 4 unit rumah guru dan sebuah Makmal Sains dengan kos peruntukan sebanyak RM6.08 juta….

KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan terus komited untuk melabur dalam bidang pendidikan demi masa depan anak bangsa Malaysia.

Antara komitmen Kerajaan termasuklah untuk memperbaiki dan membina semula sekolah yang dalam keadaan daif di seluruh negara termasuk di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak.

Sebanyak 113 Sekolah Daif telah diamanahkan kepada JKR Malaysia dan JKR Sabah sebagai Agensi Pelaksana oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dengan kos keseluruhan projek menaik taraf sebanyak RM1.02 bilion.

Daripada jumlah tersebut, 6 projek dalam fasa penyerahan, 58 projek dalam fasa pembinaan, 3 dalam fasa perolehan dan selebihnya berada dalam fasa rekabentuk, perancangan dan pra perancangan.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Pendidikan Malaysia di atas kepercayaan yang telah diberikan kepada Kementerian Kerja Raya dan Agensi bagi menaiktaraf fasiliti pendidikan di Sabah terutamanya di kawasan Pedalaman.

“Di Parlimen Pensiangan sebanyak 5 buah Sekolah Daif dalam proses pelaksanaan yang mana 3 daripada sepenuhnya dan telah diserahkan kepada pihak Pengurusan Sekolah. Lima buah sekolah tersebut adalah SK Inandung, SK Simbuan, SJKC Cheng Ming, SK Penagatan dan SK Ansip dengan kos perbelanjaan sebanyak RM18.8 juta.

“Projek yang berteraskan kepada keperluan rakyat mencerminkan keprihatinan Kerajaan dalam memastikan anak-anak kecil Keluarga Malaysia mendapat infrastruktur dan persekitaran pendidikan yang selesa bagi membolehkan mereka mencapai perkembangan diri yang optimum,” kata wakil rakyat Pensiangan itu.

Tambahnya, persekitaran pembelajaran memainkan peranan yang penting dalam menjamin keberkesanan pengajaran dan pembelajaran.

“Persekitaran fizikal seumpama guru ketiga yang membimbing pembelajaran dalam bilik darjah.

“Para pelajar akan dapat memberi lebih penumpuan terhadap pembelajaran apabila mereka berada dalam situasi yang selamat dan selesa,” katanya.