Dua ADUN Bekas DAP Kekal Pembangkang, Sertai Warisan | Sabah News

Dua ADUN Bekas DAP Kekal Pembangkang, Sertai Warisan | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

KOTA KINABALU, SABAH – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah, Justin Wong (Sri Tanjong) dan Calvin Chong (Elopura), yang mengumumkan untuk keluar DAP pada 20 Januari awal tahun ini secara rasminya menyertai Warisan hari ini.

Spekulasi berleluasa bahawa Chong dan Wong meninggalkan DAP untuk menyokong kerajaan Gabungan Rakyat Sabah dan Barisan Nasional yang dipimpin oleh Ketua Menteri Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.

Bagaimanapun, Chong dalam sidang media pagi tadi berkata tidak ada keraguan mereka akan terus menjadi sebahagian daripada pembangkang negeri.

Katanya “musuh politik” serta bekas rakan seperjuangannya di DAP telah mendakwa yang demikian selepas gambar beliau bersama Hajiji muncul di laman media sosial.

“Saya tidak berhasrat untuk menyokong kerajaan negeri dan hari ini menunjukkan saya tegas dengan pembangkang dan ketua pembangkang Sabah (Shafie),” katanya.

Chong berjaya mempertahankan kerusi Elopura pada pilihan raya negeri September 2020 lalu.

Sementara itu, Wong, seorang ADUN penggal pertama, berkata walaupun beliau baru sahaja dilantik, beliau telah aktif dalam politik sejak 2008.

“Setelah setia kepada DAP sepanjang hidup saya, saya meninggalkannya bukan kerana kepentingan peribadi tetapi kerana parti itu sudah kehilangan hala tuju selain mengalami perbalahan dalaman yang serius…

“Saya percaya bahawa ia bukan dalam kepentingan terbaik saya untuk kekal dengan parti yang hanya mahu saya menjadi pak turut,” katanya.

Wong menambah bahawa beliau berhasrat untuk kekal sebagai ahli pembangkang kerana telah dipilih oleh rakyat untuk tujuan itu.

“Saya hanya bersikap adil dan bertanggungjawab kepada pengundi saya bahawa saya dengan menyertai parti pembangkang yang memperjuangkan hak rakyat Sabah,” katanya.

Dalam pada itu, Presiden Warisan, Shafie Apdal berkata, hari ini bersejarah bagi parti itu selaras dengan matlamatnya untuk mengukuhkan kedudukannya di negeri ini.

“Kami bukan parti dengan kerajaan atau yang boleh menawarkan projek, tetapi mereka memilih untuk menyertai kami kerana mereka fikir Warisan adalah platform yang sesuai untuk memperjuangkan hak Sabah,” katanya di ibu pejabat parti itu di sini hari ini.

Dengan itu, Warisan kini mempunyai 19 kerusi di DUN.

Ia terdahulu memenangi 23 kerusi dalam pilihan raya negeri lalu tetapi kemudian kehilangan lima ADUN yang hilang kepercayaan terhadap pimpinan parti dan memilih untuk menyokong GRS manakala seorang lagi telah meninggal dunia.