Sabah Catat 372 Kes Baharu COVID-19 | Sabah News

Sabah Catat 372 Kes Baharu COVID-19 | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

Gambar Hiasan…

KOTA KINABALU: Jumlah kes harian jatuh semula kebawah paras angka 400 hari ini dengan 372 KES baharu, iaitu penurunan sebanyak 64 kes berbanding jumlah semalam.

Kota Kinabalu kembali mencatat jangkitan baharu dua angka dengan 96 kes berbanding 123 kelmarin.

Ini bermakna tidak ada lagi daerah di Sabah yang mencatat kes harian tiga angka.

“Beberapa daerah yang berhampiran dengan Kota Kinabalu seperti Papar, Putatan dan Tuaran mencatat angka baharu yang lebih rendah…

“Tetapi Penampang merekodkan pertambahan 6 kes berbanding semalam,” kata jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah Datuk Seri Masidi Manjun dalam rumusan harian.

Tambahnya, peratusan kes baharu yang berpunca daripada jangkitan sporadik turun sedikit daripada 66 peratus semalam kepada 58 peratus hari ini tetapi angka itu masih dianggap tinggi.

Kadar jangkitan sporadik di Kota Kinabalu ialah 55 peratus, Penampang 64 peratus, Putatan 61 peratus dan Tuaran 52 peratus.

“Risiko jangkitan secara sporadik masih tinggi. Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) semasa berada di khalayak ramai khususnya di tempat-tempat yang sesak.

“Pergerakan turun naik kes harian agak sukar diramal. Ia banyak dipengaruhi oleh sikap serta kadar pematuhan orang ramai terhadap semua SOP yang berkuatkuasa,” tegasnya.

Hanya daerah Semporna dan Kalabakan tidak mencatat sebarang kes baharu.

Dua kluster ditamatkan hari ini iaitu Kluster Tembok di Kota Kinabalu dan Kluster Jalan Bandau di Kota Marudu. Jumlah kluster yang masih aktif di Sabah sebanyak tujuh (7) kluster.

Tiga orang penghidap baharu hari ini berada dalam Kategori 3, empat lagi dalam Kategori 4 dan seorang dalam Kategori 5.

Berikut merupakan pecahan kes mengikut daerah di mana angka dalam kurungan adalah jumlah kelmarin.

Kota Kinabalu 96 (123)
Penampang 53 (47)
Papar 24 (44)
Tuaran 23 (41)
Sandakan 22 (27)
Putatan 21 (23)
Beaufort 18 (13)
Kota Marudu 16 (14)
Tenom 12 (2)
Kota Belud 12 (17)
Kuala Penyu 11 (8)
Tawau 10 (14)
Lahad Datu 9 (6)
Ranau 7 (4)
Kinabatangan 7 (2)
Pitas 6 (4)
Kudat 6 (6)
Sipitang 5 (7)
Tambunan 4 (14)
Beluran 3 (1)
Keningau 2 (9)
Tongod 2 (2)
Telupid 1 (2)
Kunak 1 (1)
Nabawan 1 (4)
Semporna 0 (1)
Kalabakan 0 (0)