Masyarakat Diseru Jalin Kerjasama Dengan Pihak Polis – Jahid | Sabah News

Masyarakat Diseru Jalin Kerjasama Dengan Pihak Polis – Jahid | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

JAHID (tengah) dan Hamizi (tiga kiri) bersama beberapa tetamu lain memotong kek sempena Hari Polis Ke-215…

TUARAN, SABAH – Masyarakat diseru agar terus memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membantu mereka menjalankan tugasan menjaga keselamatan rakyat.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim, berkata, slogan `Polis Dan Masyarakat Berpisah Tiada’ perlu terus diadaptasikan bagi memperkukuhkan hubungan PDRM dengan segenap lapisan masyarakat.

“Sama ada dari segi penyaluran maklumat, bantuan fizikal, bantuan aset, mahu pun sumbangan lain yang diperlukan dari semasa ke semasa, bagi membolehkan pihak PDRM menjalankan tugas dengan lebih cekap dan lebih bersemangat kerana rakyat sentiasa bersama mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri sambutan Peringatan Hari Polis Ke-215, mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Hj Hajiji Hj Noor, di Dewan Terbuka Ibu Pejabat Polis Daerah Tuaran, dekat sini hari ini.

Turut hadir Ketua-Ketua Jabatan Kerajaan Negeri dan Persekutuan daerah Tuaran, Pegawai Kanan dan anggota PDRM di IPD Tuaran, serta pemimpin masyarakat di daerah Tuaran.

Katanya, banyak cabaran baharu dari segi pertambahan tugasan dihadapi pihak PDRM khususnya dalam menghadapi Pandemik COVID-19, sebagai petugas barisan hadapan (frontliners).

“Mereka (PDRM) telah menjalankan tugasan dengan cemerlang dan tentu sekali bagi pihak kerajaan, kita sangat menghargainya,” kata Jahid, yang juga Wakil Rakyat Tamparuli.

Justeru, bagi pihak kerajaan negeri, beliau turut mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada pihak PDRM kerana telah memastikan keselamatan negeri dan kedaulatan negara sentiasa terpelihara bagi membolehkan rakyat hidup dalam keadaan selesa, tenang dan damai.

Beliau berharap anggota PDRM di seluruh negara, khususnya di Sabah dan Daerah Tuaran dapat menjalankan amanah dan tanggungjawab kepada negara dalam keadaan terpelihara daripada COVID-19 serta ancaman-ancaman lain ketika menjalankan tugasan.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim, membacakan perutusan Ketua Polis Negara sebelum menyampaikan sijil-sijil penghargaan kepada beberapa agensi dan jabatan kerajaan yang terlibat membantu PDRM Daerah Tuaran selama ini.