Pencemaran Udara Di Seluruh Dunia Di Tahap Yang Membimbangkan | Sabah News

Pencemaran Udara Di Seluruh Dunia Di Tahap Yang Membimbangkan | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

Keadaan pencemaran udara di Nepal yang semakin teruk…

WASHINGTON, AS – Pencemaran udara di seluruh dunia kini berada di tahap yang teruk dan berbahaya.

Laporan terbaharu index pencemaran tersebut itu, dikeluarkan oleh IQAir, sebuah syarikat yang mengesan kualiti udara pada peringkat global.

IQAir mendapati bahawa purata pencemaran udara tahunan di setiap negara dan 97 peratus bandar telah melebihi garis panduan kualiti udara yang ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Garis panduan itu direka untuk membantu kerajaan membuat peraturan bagi melindungi kesihatan awam.

Hanya 222 bandar daripada 6,475 yang dikaji mempunyai purata kualiti udara yang memenuhi piawaian WHO, lapor CNN.

Selain itu, terdapat tiga wilayah didapati telah memenuhi garis panduan WHO iaitu wilayah Perancis, New Caledonia serta wilayah Amerika Syarikat (AS), Puerto Rico dan Kepulauan Virgin.

India, Pakistan dan Bangladesh adalah antara negara yang mengalami pencemaran udara paling teruk dengan ketiga-tiganya melebihi garis panduan sekurang-kurangnya 10 kali ganda.

Negara-negara Scandinavia selain Australia, Kanada, Jepun dan Britain pula disenaraikan antara negara terbaik bagi kualiti udara dengan tahap purata yang melebihi garis panduan sebanyak satu hingga dua kali.

Di AS, IQAir mendapati pencemaran udara melebihi garis panduan WHO sebanyak dua hingga tiga kali pada 2021.

“Laporan ini menekankan keperluan kerajaan di seluruh dunia untuk membantu mengurangkan pencemaran udara global.

“Bahan zarah halus membunuh terlalu ramai orang setiap tahun dan kerajaan perlu menetapkan standard kebangsaan kualiti udara yang lebih ketat serta meneroka dasar luar yang mampu menggalakkan kualiti udara yang lebih baik,” kata Ketua Pegawai Eksekutif IQAir Amerika Utara, Glory Dolphin Hammes.

Pendedahan tersebut merupakan laporan kualiti udara global pertama yang dinilai berdasarkan garis panduan pencemaran udara tahunan baharu WHO yang dikemas kini pada September 2021.

Garis panduan baharu itu mengurangkan separuh kepekatan bahan zarah halus yang boleh diterima atau PM 2.5, daripada 10 kepada lima mikrogram setiap meter padu.

PM 2.5 adalah pencemar terkecil dan antara yang paling berbahaya. Apabila disedut, ia bergerak jauh ke dalam tisu paru-paru dan boleh memasuki saluran darah.

PM 2.5 terhasil daripada sumber seperti pembakaran bahan api fosil, ribut debu dan kebakaran hutan serta dikaitkan dengan beberapa ancaman kesihatan termasuk lelah, penyakit jantung dan penyakit pernafasan lain.

IQAir menganalisis stesen pemantauan pencemaran di 6,475 bandar dalam 117 negara termasuk wilayah dan daerah.