SUDC Lancar Laman Sesawang Baharu | Sabah News

SUDC Lancar Laman Sesawang Baharu | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

Dr. Joachim (duduk,tengah) bersama dengan Jamawi (dua dari kiri) merakamkan gambar kenangan selepas perasmian pelancaran laman sesawang baharu SUDC, hari ini…

KOTA KINABALU, SABAH – Sabah Urban Development Corporation (SUDC) melancarkan laman sesawang baharu sempena ulang tahun yang ke-50 hari ini, sebagai pendekatan kepada dunia pendigitalan selari dengan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).

Pengerusi SUDC, Jamawi Jaafar percaya dengan laman sesawang SUDC yang baharu ini, ianya dapat menyalurkan segala informasi terkini tentang syarikat, produk sedia ada dan juga produk-produk akan datang di laman tersebut.

“Dengan laman baharu ini juga SUDC boleh menjangkau lebih ramai pelanggan- pelanggan yang berpotensi dan juga pelabur-pelabur domestik dan juga antarabangsa, insya Allah,” katanya semasa berucap di majlis pelancaran laman sesawang baharu SUDC itu, yang dirasmikan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Datuk Dr. Joachim Gunsalam.

Jamawi berkata, dalam masa setengah abad ini, pelbagai cabaran, kejayaan dan rintangan telah dilalui oleh SUDC.

Dr. Joachim (lima dari kanan) menyempurnakan gimik pelancaran laman sesawang baharu SUDC sambil disaksikan oleh Jamawi (tiga dari kiri) di menara MAA, Kota Kinabalu hari ini…

Selama 50 tahun juga, katanya, walaupun pengurusan dan kakitangan silih berganti, SUDC masih kukuh dan relevan dalam pembangunan hartanah di Sabah khasnya.

“Bersesuaian dengan slogan sempena ulang tahun yang ke-50, iaitu Pioneering Progress, SUDC telah membuktikan keupayaan mereka untuk menjadi perintis dalam sektor pembangunan hartanah di negeri ini.

“Bermula dengan nama Milek Perkasa Sdn Bhd pada tahun 1972, SUDC mengorak langkah pertama dengan pembangunan rumah kedai di Kudat pada tahun 1973.

“Dan kemudiannya, SUDC terus membangunkan daerah-dearah kecil seperti di Kundasang, Ranau, Tamparuli, Kiulu, Nabawan, Papar, Tenghilan dan lain-lain menjadi pekan-pekan yang dikenali sekarang ini.

“Pembangunan konsep rumah kedai ini bukan sahaja mengubah landskap kawasan tersebut, malah menjadikan kawasan tersebut sebagai tarikan bagi penduduk setempat.

“Ini sama sekali, mewujudkan dan merangsangkan ekonomi setempat,” katanya.

Katanya, SUDC juga melihat sektor perindustrian memainkan peranan penting dalam meningkatkan ekonomi negeri.

“Justeru, SUDC giat membantu negeri dalam merancakkan lagi sektor tersebut dengan pembangunan estet-estet perindustrian, seperti di Kolombong, Tawau, Sandakan, Keningau, Lahad Datu dan Lok Kawi,” tambahnya.

Bagi segmen perumahan pula, katanya, SUDC telah membangunkan beberapa perumahan seperti Kingfisher Park di Likas, Taman Milek di Lintas, Marina Court, Indah Court di Kota Kinabalu dan Lok Kawi Heights di Papar.

“Memandangkan pada masa ini, perumahan menjadi satu buah mulut rakyat terutama sekali perumahan mampu milik, maka SUDC telah mengambil inisiatif untuk membina sebanyak 238 unit rumah mampu milik di Lok Kawi Heights Papar.

“Pembangunan ini dijangka akan siap sepenuhnya pada pertengahan tahun ini,” ujarnya.

Beliau turut memaklumkan, SUDC juga bercadang untuk membina lebih kurang 1,000 unit mampu milik di Lok Kawi dan juga di Bukit Padang.

Menurutnya, ini semestinya akan memberi manfaat kepada rakyat dan juga penduduk setempat terutama sekali golongan-golongon B40 dan M40.

“SUDC juga terlibat dalam pembangunan perhotelan yang mana SUDC telah membangunkan Borneo Royale Hotel atau dahulu dikenali sebagai Promenade Hotel Tawau, Ming Garden Hotel dan juga Promenade Hotel di Kota Kinabalu.

“Pembangunan-pembangunan yang saya sebutkan tadi hanyalah sedikit gambaran ataupun snapshot keupayaan dan kejayaan SUDC dalam pembangunan hartanah di negeri,” katanya.

Mengikut rekod, pembangunan nilai kasar (GDV) SUDC sehingga kini bernilai sebanyak RM3 billion.

“Ini satu pencapaian yang boleh dibanggakan bagi sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC),” kata Jamawi.

Mengenai pelbagai cabaran dan permasalahan dihadapi SUDC terutama sekali pada masa era Covid-19 ini, beliau percaya dengan pihak pengurusan yang berkaliber dan berkebolehan, SUDC dapat mengatasi segala cabaran ini.

Beliau berharap SUDC akan tetap kukuh, utuh dan relevan dalam pembangunan hartanah di negeri ini.

SUDC telah menyambut ulang tahun yang ke-50 pada 14 Januari 2022 yang lalu.

Turut hadir ialah Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Perindustrian, Thomas Logijin; Pengurus Besar Kumpulan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO), Haizar Razif Hisyam; Timbalan Pengurus Besar SEDCO, Azrul Ahmad; Ahli Lembaga Pengarah SUDC, Datuk Hj Pengiran Saifuddin Tahir dan barisan pengurusan SUDC.