Shafie Afdal diasak isu tuntutan waris Sultan Sulu

Shafie Afdal diasak isu tuntutan waris Sultan Sulu

Kongsikan Berita Ini

KOTA KINABALU: Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal didesak mendedahkan apa yang dilakukan kerajaan negeri berkaitan tuntutan pihak yang mendakwa waris Sultan Sulu di Madrid, Sepanyol ketika beliau menjadi Ketua Menteri sebelum ini.

Mohd Shafie yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senallang, bagaimanapun enggan mengulas perkara itu, selain menegaskan bidang kuasa membabitkan hal antarabangsa terletak di tangan Kerajaan Persekutuan.

Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN) itu juga enggan melayan sebarang pertanyaan lanjut berhubung isu berkenaan ketika membahaskan ucapan dasar kerajaan negeri oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin pada sidang DUN Sabah, di sini, semalam.

“Saya sudah mengatakan mana ada kerajaan negeri mempunyai kuasa berunding dengan negara lain atau mana-mana mahkamah antarabangsa, ia bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.

“Hari ini Parlimen Filipina berbahas mengenai perkara ini (tuntutan ke atas Sabah), ia bukan bermaksud kita mengiktirafnya, tidak. Maksud saya Persekutuan perlu lihat ancaman dari negara jiran itu,” katanya.

Sebelum itu, ADUN dilantik, Datuk Yong Teck Lee (SAPP) mencelah dalam perbahasannya untuk meminta penjelasan berhubung laporan sebuah portal berita pada 2018 mengenai kerajaan negeri menghantar wakil dalam isu tuntutan waris Sultan Sulu di mahkamah arbitrasi di Madrid, Sepanyol.

Teck Lee yang juga bekas Ketua Menteri Sabah ketika sistem penggiliran Ketua Menteri pada 1990-an, berkata beliau pernah meminta penjelasan sama ketika kerajaan WARISAN memerintah Sabah selama dua tahun sebelum ini, namun tidak diberikan jawapan.

Selain Teck Lee, seorang lagi ADUN kerajaan, Datuk Annuar Ayub (STAR – Liawan) turut meminta penjelasan sama, namun Mohd Shafie tetap dengan pendiriannya tidak mahu melayan perkara sama.

“Banyak lagi yang saya mahu katakan dalam perbahasan saya,” katanya.

Sementara itu, dalam perbahasannya, Mohd Shafie antara lain membangkitkan isu keadaan jalan yang mengalami kerosakan di seluruh Sabah, khususnya di laluan menghubungkan pantai timur seperti Jalan Kalabakan-Nabawan.

Selain itu, beliau turut menyentuh tuntutan hasil 40 peratus Sabah dan perkara lain berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Beliau turut mencadangkan tempoh persidangan DUN Sabah dipanjangkan bagi memberi peluang semua ADUN berbahas dalam tempoh lebih panjang berbanding ketika ini.

sumber – https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/03/936791/shafie-diasak-isu-tuntutan-waris-sultan-sulu