ADUN-ADUN PH Sampaikan Sokongan Kepada Ketua Menteri Berkenaan Tempoh Had Jawatan Ketua Menteri | Sabah News

ADUN-ADUN PH Sampaikan Sokongan Kepada Ketua Menteri Berkenaan Tempoh Had Jawatan Ketua Menteri | Sabah News

Kongsikan Berita Ini





Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah daripada Pakatan Harapan (PH) mengadakan kunjungan kepada Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor di pejabat Ketua Menteri di Dewan Undangan Negeri hari ini…

KOTA KINABALU, SABAH – Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah daripada Pakatan Harapan (PH) menyampaikan sokongan kepada Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor di atas keputusan Kabinet Negeri untuk menghadkan tempoh lantikan Ketua Menteri kepada dua penggal sahaja.

ADUN Api-Api Datuk Christina Liew mengetuai ADUN-ADUN PH Sabah mengadakan kunjungan kepada Hajiji pada Selasa, di pejabat Ketua Menteri di Dewan Undangan Negeri untuk menyampaikan sokongan tersebut.

“Dalam kunjungan hormat PH Sabah kepada Datuk Hajiji selaku Ketua Menteri pada hujung tahun lepas, syor menghadkan perlantikan Ketua Menteri kepada dua penggal merupakan antara agenda reform Sabah yang telah kami kemukakan kepada beliau.

“Hari ini Dewan dimaklumkan bahawa Kabinet Negeri Sabah telah bersetuju secara prinsipnya berkenaan cadangan menghadkan tempoh lantikan Ketua Menteri kepada dua penggal sahaja. Pindaan perlembagaan negeri ini akan dibentangkan dalam sidang DUN akan datang jika mendapat sokongan daripada ADUN-ADUN.

“Justeru, saya bersama-sama dengan ADUN-ADUN PH Sabah mengadakan kunjungan kepada Ketua Menteri hari ini untuk menyatakan sokongan kami ke atas keputusan Kerajaan Negeri tersebut,” katanya.

Turut sama dalam kunjungan tersebut ialah Pengerusi DAP Sabah yang juga ADUN Tanjung Papat Datuk Frankie Poon, ADUN Kadamaian Datuk Ewon Benedick dan ADUN Likas Tan Lee Fatt.

Terdahulu, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Abidin Madingkir semasa menjawab pertanyaan lisan daripada Ewon menyatakan Kabinet Negeri bersetuju menghadkan tempoh perlantikan Ketua Menteri kepada dua penggal sahaja.

Menurut Ewon, beliau mengemukakan soalan tersebut untuk menyusuli Agenda Reform Sabah yang telah dikemukakan oleh PH Sabah kepada Hajiji.