Saya Pun Sakit Hati, Tayar Pun Pecah Lalu Jalan Raya Sabah – Bung Moktar

Saya Pun Sakit Hati, Tayar Pun Pecah Lalu Jalan Raya Sabah – Bung Moktar

Kongsikan Berita Ini

KOTA KINABALU : Rakyat Sabah diminta bersabar dalam tempoh dua tahun setengah lagi sebelum dapat menikmati lebuh raya yang selesa di seluruh negeri ini.

Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menjelaskan, ada jalan raya di negeri ini yang sudah tamat jangka hayatnya dan perlu dinaik taraf namun ia menelan kos yang tinggi selain jalan itu sudah tidak akan digunakan apabila jalan Pan Borneo siap.

“Jalan di Batu 32 Telupid, jalan ini jangka hayatnya sudah tamat pada 2018 dan sudah tentu apabila jangka hayatnya tamat akan mengalami kerosakan sebab itu pakej Pan Borneo di pakej 28, 29 dan 30 diberi keutamaan.

“Kalau kita naik taraf sudah tentu akan menelan belanja beratus-ratus juta sedangkan projek Pan Borneo ini sedang dilaksanakan.

“Jadi kita kena bersabar dalam dua tahun setengah, selepas itu kita akan menikmati jalan raya yang betul-betul selesa tanpa ada kebimbangan dan keraguan,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini, pada Isnin.

Bung Moktar menjawab soalan tambahan yang dikemukakan Dr Aliakbar Gulasan (Ahli Dewan Undangan Negeri Dilantik-Pas) berhubung jalan raya yang dinaik taraf mengalami kerosakan serta menyebabkan pengguna menghadapi masalah.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah memaklumkan, turut merasai masalah yang dihadapi rakyat berikutan keadaan jalan raya di negeri ini.

“Saya pun melalui jalan yang sama, saya pun pantau, saya pun lihat, saya pun sakit hati, tayar pun pecah tetapi saya melihat bahawa tidak ada pilihan yang kita boleh ambil sebab jalan ini akan dinaik taraf. – SINAR