Kerajaan Menyokong Pengurangan Penggunaan Baja Dan Racun Kimia – Jeffrey | Sabah News

Kerajaan Menyokong Pengurangan Penggunaan Baja Dan Racun Kimia – Jeffrey | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

Menteri Pertanian Dan Perikanan, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan…

KOTA KINABALU, SABAH – Kenaikan harga baja dan racun berlaku kerana kesan kenaikan harga pasaran antarabangsa, perubahan polisi negara pengeksport input pertanian dan logistik yang terhad semasa pandemik COVID-19.

Menteri Pertanian Dan Perikanan, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan berkata petani Sabah terjejas kerana kebanyakan baja dan racun untuk kegunaan tempatan diimport daripada luar negara.

Beliau berkata demikian sebagai membalas soalan daripada Datuk Annuar Datuk Ayub (Liawan), pada Sidang Dewan Undangan Negeri hari ini, tentang perancangan kementeriannya untuk mengawal kenaikan harga racun dan baja bagi meringankan beban para petani yang terkesan.

Jeffrey berkata beberapa langkah sedang dilaksanakan dan dirancang khususnya oleh Kerajaan Persekutuan seperti pemberian kemudahan pinjaman agromakanan tanpa faedah dengan moratorium bayaran balik selama 6 bulan melibatkan peruntukan sebanyak RM200 juta dan RM62 Juta bagi subsidi dan insentif padi di bawah Bajet 2022.

“Bantuan subsidi racun makhluk perosak untuk pesawah dinaikkan dari RM200 kepada RM300 sehektar semusim.

“Untuk pembangunan tanaman, insentif racun mahluk perosak dan pengurusan perosak bersepadu adalah sebanyak RM500 sehektar…

“Kerajaan juga menggalakkan pengguna menanam tanaman jangka masa pendek seperti sayur-sayuran di kawasan rumah melalui Program Pertanian Bandar Komuniti dalam bentuk pemberian insentif input pertanian (baja organik dan peralatan pertanian).

“Program ini melibatkan 900 orang peserta bersamaan 90 komuniti dengan peruntukan sebanyak RM1 juta,” katanya.

Menurut beliau kerajaan menggalakkan industri pengeluaran baja tempatan atau buatan sendiri dan mengurangkan penggunaan racun kimia.

Katanya antara langkah-langkah yang telah dan sedang dilaksanakan adalah untuk menggalakkan petani mengamalkan Pengurusan Perosak Bersepadu bagi mengurangkan kebergantungan terhadap racun kimia melalui kawalan secara kultura serta kawalan fizikal dan kawalan biologi.

“(Kerajaan) menggalakkan dan mempromosikan penggunaan input pertanian berasaskan mikroorganisma berfaedah seperti ‘Plant Booster’, ‘Growth Enhancer’ dan ‘Bokashi’ (baja kompos yang dihasilkan melalui proses fermentasi atau peragian bahan organik dengan teknologi EP4).

“Menggalakkan penggunaan bahan sisa tanaman seperti jerami padi untuk dijadikan baja kompos, serta menjalankan aktviti pengembangan bagi mendidik petani untuk menggunakan baja dan racun perosak mengikut keperluan dan sukatan yang tepat dengan teknik-teknik yang betul supaya penggunaan input adalah secara berhemah dan berkesan,” ujarnya.