Dua Beradik Sesat Di Hutan Amazon Hampir Sebulan Ditemui Hidup | Sabah News

Dua Beradik Sesat Di Hutan Amazon Hampir Sebulan Ditemui Hidup | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

Gleison Ferreira, 9, dan adiknya Glauco, 7 berjaya ditemui di hutan Amazon setelah hilang hampir sebulan…

BRASILIA, BRAZIL – Setelah hilang selama hampir sebulan di hutan hujan Amazon, dua beradik lelaki yang dilaporkan hilang telah dijumpai dengan keadaan masih hidup.

Sebelum kehilangan mereka, dua beradik tersebut, Glauco, 7 , dan Gleison Ferreira, 9, meninggalkan rumah mereka di Lago Capanã  untuk mencari burung kecil pada 18 Februari lalu.

Apabila mereka berdua tidak didapati pulang ke rumah, pihak berkuasa memulakan pencarian secara meluas di hutan hujan tersebut di barat laut Brazil tetapi menamatkannya pada 26 Februari lalu.

Bagaimanapun, pada malam Selasa lalu, seorang pemotong pokok berjaya menemui dua kanak-kanak ini apabila salah seorang daripada mereka menjerit apabila mendengar bunyi gergaji rantainya, lapor MailOnline.

Lelaki itu mendapati dua budak lelaki itu terbaring di atas permukaan hutan dalam keadaan lapar dan badan mereka kurus kering dengan kesan melecet pada kulit.

Ketika pasukan penyelamat membawa Glauco dan Gleison bertemu keluarga, kanak-kanak tersebut  memberitahu ibu bapa mereka bahawa mereka tidak makan apa-apa semasa hilang dan terselamat hanya dengan meminum air hujan.

“Keadaan fizikal anak-anak saya sangat menyayat hati tetapi saya sangat bersyukur kerana mereka masih hidup,” kata bapa mangsa, Claudionor Ribeiro Ferreira.

Glauco dan Gleison kemudiannya dibawa  ke hospital di Manicoré di mana mereka diberi rawatan kerana mengalami kekurangan zat makanan yang teruk, dehidrasi dan kulit melecet sebelum diterbangkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) sebuah hospital lain di di ibu negeri Amazonas, Manaus.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *