Bantuan Pihak Swasta Dialu-Alukan, Anjur Kembali Perlumbaan F1 | Sabah News

Bantuan Pihak Swasta Dialu-Alukan, Anjur Kembali Perlumbaan F1 | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

Kali terakhir F1 dianjurkan di SIC adalah pada 2017 iaitu bagi edisi ke-19 sejak kali pertama dianjurkan di litar itu pada 1999…

PUTRAJAYA – Kerajaan Malaysia mengalu-alukan bantuan pihak swasta untuk memberi sumbangan bagi membawa kembali penganjuran Grand Prix (GP) Formula Satu (F1) ke Malaysia.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, ini kerana pihaknya dimaklumkan usaha untuk membawa kejohanan itu melibatkan kos yang amat tinggi iaitu melebihi RM200 juta.

“Jika dapat bantuan syarikat swasta, organisasi dan seumpamanya, sudah tentu kita akan beri sokongan kerana buat masa sekarang kerajaan perlu menggunakan wang untuk banyak perkara lain…

dalam keadaan yang mencengkam rakyat dari segi ekonomi dan keadaan negara yang dihimpit Covid-19,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan Kelab Olahraga Panther di sini pada Sabtu, lapor Bernama.

Katanya, pihaknya juga perlu melakukan perbincangan dengan semua pihak berkaitan dan melakukan penelitian sebelum membuat keputusan besar berhubung perkara itu.

Pada Jumaat, media melaporkan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) mengakui berminat sekiranya mendapat tawaran daripada pihak F1 tentang penganjuran GP F1 di litar berkenaan, bagi menggantikan GP F1 Rusia yang dijadualkan pada 25 September ini.

Sebelum ini, pihak F1 telah membatalkan GP F1 Rusia yang dijadualkan berlangsung di Litar Sochi Autodrom susulan serangan Rusia ke atas Ukraine ketika ini.

Kali terakhir F1 dianjurkan di SIC adalah pada 2017 iaitu bagi edisi ke-19 sejak kali pertama dianjurkan di litar itu pada 1999…

Dalam perkembangan lain, Ahmad Faizal berkata, kementeriannya akan memperhalusi bentuk bantuan yang boleh diberikan kepada atlet seperti atlet olahraga berbakat negara Shereen Samson Vallabouy menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) untuk mampu pergi lebih jauh.

“Kita akan bersama-sama mendengar apa bantuan boleh diberi agar sukan olahraga negara dapat diperkasakan lagi. Setakat ini ia berada dalam radar MSN dan Shereen telah mendapat biasiswa untuk melanjutkan pelajaran di Amerika Syarikat dan kita berbangga dengan perkara itu,” katanya.

Pada Jumaat, MSN menafikan dakwaan Presiden Yayasan Komuniti Wanita Sukan di Malaysia (FOWCUS) Datuk Zuraida Kamaruddin bahawa pencapaian Shereen dipandang sepi.

MSN dalam kenyataan memaklumkan pihaknya juga sentiasa mengikuti perkembangan Shereen di Amerika Syarikat dan Timbalan Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Datuk Mumtaz Jaafar sendiri telah menghubungi ibu atlet berkenaan (Josephine Mary Singarayar) pada 10 Mac untuk menyenaraikannya ke Sukan SEA Vietnam.

Sabtu lepas, atlet berusia 23 tahun itu memenangi pingat emas acara 400 meter (m) dalam dewan pada Kejohanan US National Collegiate Athletic Association (NCAA) Division 2 di Pittsburgh State University of Kansas, Amerika Syarikat dengan catatan masa 53.79 saat (s).

Sebagai rekod, Shereen adalah atlet yang tersenarai dalam Program Pelapis Kebangsaan di Sekolah Sukan Bukit Jalil dan terpilih memasuki Program Kita Juara pada 2016 sebagai persiapan untuk Sukan SEA 2017.

Dibimbing oleh ibunya yang dilantik sebagai jurulatih, Shereen disasarkan untuk memenangi pingat individu acara 400m di Sukan SEA 2017 tetapi hanya meraih pingat dalam acara 4x400m.

Beliau kemudian memutuskan untuk tidak meneruskan latihan di bawah program berkenaan setelah berjaya mendapatkan biasiswa untuk menyambung pengajiannya di Winona State University.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *