Warga Emas Bujang Terima Sumbangan Daripada Jahid | Sabah News

Warga Emas Bujang Terima Sumbangan Daripada Jahid | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

Jahid melawat Abdul Rahman dan seterusnya menyampaikan sumbangan bakul makanan dan sumbangan wang tunai bagi meringankan bebanannya…

TAMPARULI, SABAH – Seorang warga emas, menerima lawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tamparuli, Datuk Jahid Jahim, di Kampung Topokon, dekat sini, hari ini.

Lawatan singkat itu dibuat sebaik Jahid selesai menyempurnakan program Gotong-Royong Sempena Ambang Ramadhan di Masjid Al-Hidayah, di kampung berkenaan.

Abdul Rahman Eki, 66 tahun, masih bujang dan tinggal sendirian di sebuah rumah usang berhampiran jalan raya kampung tersebut.

Beliau mensyukuri ziarah tersebut, dan menghargai usaha pihak masjid dan Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Daerah Kecil Tamparuli yang telah menganjurkan program itu, sempena menjelang bulan Ramadhan tidak lama lagi.

Menurut Abdul Rahman, beliau kini sedang mengalami sakit-sakit badan dan turut diserang beberapa penyakit lain, yang turut membuatkannya sukar bergerak.

Jahid yang juga Wakil Rakyat Tamparuli, berpesan kepada Abdul Rahman agar sentiasa menjaga kesihatan beliau, dan mendoakannya agar sentiasa sihat walafiat.

Selain bantuan bakul makanan, Jahid turut menghulurkan sumbangan peribadi berbentuk wang tunai bagi meringankan beban Abdul Rahman yang tinggal sendirian itu.

“Beliau ini (Abdul Rahman) merupakan teman sepermainan saya semasa berada di Ladang Estet Topokon suatu ketika dahulu, dan kami membesar bersama-sama,” kata Jahid.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Topokon, Mary Martin, memberitahu, warga emas tersebut menerima bantuan dari pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat sejumlah RM500 sebulan.

“Dia sebenarnya ada ahli keluarga lain yang tinggal berhampiran rumahnya, tetapi difahamkan dia lebih suka untuk hidup sendirian,” kata Mary.

Turut hadir Pegawai Tadbir Agama Jabatan Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Suffian Kundu, Ketua Bahagian Pengurusan Daerah (KBPD) IPD Tuaran, ASP Raji Hussin Hj Suhodin, dan wakil Jawatankuasa Masjid Al-Hidayah Pekan Topokon, Dansui Abdullah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *