Kanada Tawar Permit Pemastautin Sementara Bagi Pelarian Ukraine | Sabah News

Kanada Tawar Permit Pemastautin Sementara Bagi Pelarian Ukraine | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

OTTAWA, KANADA – Kerajaan Kanada mengumumkan bahawa negara tersebut sedang mewujudkan sebuah program imigresen baharu yang akan menawarkan permit pemastautin sementara di Kanada untuk tempoh sehingga tiga tahun kepada rakyat Ukraine.

Menurut laporan AFP, program itu menyasarkan warga Ukraine yang melarikan diri daripada pencerobohan Rusia.

Kanada mempunyai penduduk berketurunan Ukraine yang besar, terutamanya di tengah dan barat negara itu.

“Rakyat Ukraine dan ahli keluarga terdekat mereka daripada mana-mana kewarganegaraan boleh tinggal di Kanada sebagai penduduk sementara sehingga tempoh tiga tahun.”

“Pemohon dikehendaki membuat permohonan secara dalam talian dan memberikan data biometrik mereka dalam bentuk cap jari dan gambar.

“Pelarian Ukraine itu juga boleh memohon permit kerja dan belajar secara serentak di Kanada demikian menurut kenyataan pihak berkuasa.

Menurutnya, rakyat Ukraine dan keluarga mereka yang telah menetap di Kanada juga akan mendapat manfaat daripada langkah baharu itu dan boleh “melanjutkan status pelawat atau permit kerja mereka selama 3 tahun lagi, memohon permit kerja atau belajar baharu, atau melanjutkan permit sedia ada mereka.”

Menurut angka  Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang dikeluarkan kelmarin,  lebih tiga juta orang telah melarikan diri dari Ukraine sejak pencerobohan Rusia bermula  pada 24 Februari lalu dengan lebih separuh daripada mereka berlindung di Poland.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *