Tiada Puak Atau Kluster, UMNO Perlu Mengemudi Pembaharuan – Shahril | Sabah News

Tiada Puak Atau Kluster, UMNO Perlu Mengemudi Pembaharuan – Shahril | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

Shahril Hamdan…

KUALA LUMPUR – UMNO perlu mengemudi pembaharuan di dalam meraih mandat rakyat, kata Ketua Penerangan UMNO Malaysia Shahril Hamdan.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas Ucapan Dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semasa Perhimpunan Agung UMNO (PAU) pagi tadi.

Zahid telah menggariskan beberapa perkara yang perlu dilengkapkan UMNO ke arah persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

“Seperti yang dibahaskan oleh ramai perwakilan semalam, kita perlu tawarkan ‘new deal’ kepada pengundi…

“Lima daya yang diumumkan oleh Datuk Seri Presiden akan menjadi garis panduan untuk kita melengkapkan tawaran,” kata Shahril dalam satu kenyataan di Facebook.

Ucapan Zahid yang bertajuk ‘Mandat Rakyat Demi Kestabilan’ menampilkan lima daya sebagai agenda UMNO dalam melestarikan politik tanah air.

Perhimpunan Agung UMNO 2021… – Sumber Foto Bernama

Teras pertama ialah pemulihan ekonomi seperti meningkatkan kuasa beli rakyat dengan pelaksanaan segera gaji minimum RM1,500 dan mengkaji semula pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada kadar yang berpatutan dan tidak membebankan rakyat.

Teras kedua ialah peluang pekerjaan termasuk mewujudkan jawatankuasa khas hal ehwal pekerjaan negara melibatkan anak-anak muda.

Teras ketiga pula melahirkan lebih ramai usahawan berwibawa antaranya mempermudahkan proses pinjaman kredit kepada usahawan baharu dengan melonggarkan syarat-syarat pinjaman.

Teras keempat, meneruskan agenda integrasi pendidikan supaya soal duniawi dan ukhrawi bergerak seiring.

Manakala teras kelima adalah reformasi agenda rakyat satu keperluan agar keyakinan rakyat kepada kerajaan dapat dipulihkan seperti undang-undang berkaitan Anti Lompat Parti, undang-undang Pendanaan Parti Politik dan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat kes-kes yang berkait dengan kepentingan rakyat.

Dalam pada itu, Shahril bersetuju dengan Presiden yang mengajak semua dalam parti untuk membulatkan tekad, mengenepikan segala sengketa dan bersatu hati dalam menghadapi lawan.

“Tiada kabilah, kluster, atau puak. Yang ada hanyalah keluarga besar UMNO.

“Dalam ucapan tadi, jelas mesej keharmonian yang dibawa oleh Presiden. Ayat beliau sendiri: “Kini wakil kita menjadi teraju kerajaan. Datuk Seri Ismail Sabri, jagalah kerajaan elok-elok, kita bagi dukungan kepada Yang Amat Berhormat.

“Insya-Allah, saya dan Tok Mat dan rakan-rakan lain, kita akan jaga parti. Kami akan perkuatkan parti dan Yang Amat Berhormat kuatkan kerajaan kerana kita harus seiring dan sejalan”,” petiknya.

Shahril yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia berharap agar intipati Ucapan Dasar Presiden itu menjadi pembuka tirai yang baik kepada PAU 2021.

“Segala perbahasan dari perwakilan menjadi penguat semangat demi perjuangan agama, bangsa, dan Malaysia tercinta,” tambahnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *