Pinjaman RM73,000 Untuk Ubah Suai Rumah Lesap Ditipu Sindiket Nombor TAC | Sabah News

Pinjaman RM73,000 Untuk Ubah Suai Rumah Lesap Ditipu Sindiket Nombor TAC | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

MELAKA – Seorang penjawat awam lelaki kerugian RM73,000 apabila wang pinjaman yang baharu diluluskan untuk ubai suai rumahnya lesap dalam akaun bank selepas ditipu sindiket nombor Kod Pengesahan Transaksi (TAC).

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Melaka Supt E.Sundra Rajan berkata mangsa yang berusia 40 tahun dihubungi suspek lelaki tidak dikenali pada 14 Mac yang memaklumkan isteri suspek telah tersilap mendaftarkan butiran maklumat untuk perbankan dalam talian dengan mendaftarkan nombor telefon mangsa.

“Mangsa yang bekerja sebagai pemandu jabatan telah diminta oleh suspek untuk memaklum dan menyerahkan kepadanya jika ada menerima mesej menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) nombor TAC daripada pihak bank. Tanpa membuat pengesahan lanjut, mangsa terus memberikan nombor TAC itu kepada suspek…

“Mangsa telah menerima semula SMS daripada pihak bank yang menyatakan terdapat pindahan wang sejumlah RM50,000 daripada akaunnya sejurus mangsa menyerahkan nombor TAC kepada suspek,” katanya dalam kenyataan semalam.

Sundra Rajan berkata keesokan harinya, mangsa mendapati terdapat pindahan wang untuk kali kedua berjumlah RM23,000 ke akaun yang tidak dikenali dan mangsa kemudian pergi ke bank bagi membuat pengesahan sekali gus dinasihatkan membuat laporan polis.

Beliau berkata mangsa membuat laporan berkaitan kes itu di Balai Polis Ayer Keroh dan kes sedang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Dalam pada itu, Sundra Rajan turut mengingatkan orang awam supaya berhati-hati dengan modus operandi yang baharu dikesan pihaknya dan giat dijalankan oleh ‘scammer’ sehingga mengakibatkan mangsa kehilangan wang daripada akaun bank mereka.

“Sindiket menggunakan laman Facebook untuk mengiklankan penjualan barang atau tawaran perkhidmatan dan tawaran iklan ini akan sentiasa diubah suai bagi menjerat lebih ramai mangsa…

“Mangsa yang berminat akan dihubungi melalui aplikasi WhatsApp dan diberikan pautan muat turun dalam telefon mangsa. Aplikasi ini menggantikan sistem SMS sedia ada, mangsa diarahkan untuk mendaftar menerusi aplikasi tersebut dengan memasukkan nama, nombor kad pengenalan, e-mel, butiran kad kredit atau kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) serta butiran perbankan dalam talian,” katanya.

Beliau berkata selepas semua maklumat dimasukkan dan mangsa menekan butang hantar paparan ‘page error’ akan ditunjukkan kerana aplikasi ini tidak dipautkan kepada sistem perbankan yang sebenar.

“Hakikatnya pemasangan aplikasi ini adalah dibuat semata-mata untuk sindiket mendapatkan akses terhadap kandungan SMS serta butiran perbankan yang akan digunakan oleh sindiket untuk memindahkan wang daripada akaun mangsa…

“Pihak JSJK Melaka menasihati orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dengan tawaran yang mencurigakan dan dinasihatkan supaya membuat semakan ke atas nombor telefon dan nombor akaun yang meragukan supaya tidak menjadi mangsa penipuan,” katanya.

– BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *