Pengamal Perubatan Islam Gagal Dapat Kebenaran Cabar Keabsahan Akta 775 | Sabah News

Pengamal Perubatan Islam Gagal Dapat Kebenaran Cabar Keabsahan Akta 775 | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

Gambar sekadar hiasan…

PUTRAJAYA – Seorang pengamal perubatan Islam hari ini gagal mendapat kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan untuk
mencabar perlembagaan berhubung keabsahan peruntukan dalam Akta Perubatan Tradisional dan Komplementari 2016 (Akta 775) berkaitan pengubatan Islam dan perubatan tradisional Melayu.

Memetik laporan Bernama, Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Mohd Zawawi Salleh menolak permohonan Ramli Ghani untuk mendapatkan kebenaran itu kerana berpendapat Ramli tidak memenuhi syarat di bawah Perkara 4 (4) Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata Parlimen adalah kompeten untuk menggubal undang-undang atau Akta 775 dan menambah Seksyen 25 Akta itu hanyalah peraturan bagi pendaftaran pengamal perubatan termasuklah pengubatan Islam dan perubatan tradisional Melayu.

“Melihat keseluruhan akta, saya mendapati ia tidak melibatkan penentuan hukum syarak dan juga adat Melayu,” kata Hakim Zawawi.

Ramli memohon kebenaran untuk memulakan cabaran perlembagaan kerana mendakwa Parlimen tidak mempunyai kuasa untuk membuat undang-undang berhubung teknik pengubatan dalam Islam yang berada di bawah bidang kuasa Majlis Agama Islam Negeri dan Sultan adalah ketua agama.

Ramli menamakan Kementerian Kesihatan (KKM) dan kerajaan sebagai responden.

Ramli mendakwa akta itu tidak berperlembagaan kerana perkara berkaitan dengan pengubatan Islam dan perubatan tradisional Melayu adalah di bawah kuasa, prerogatif dan keistimewaan Sultan seperti yang dijamin di bawah Perkara 38 (4) Perlembagaan Persekutuan.

Beliau juga mendakwa Seksyen 25 dan 26 Akta itu adalah terbatal dan tidak sah.

Seksyen 25 menyatakan seseorang yang bukan seorang pengamal berdaftar tidak boleh, secara langsung atau tidak langsung, mengamalkan perkhidmatan perubatan tradisional dan komplementari dan sekiranya disabitkan kesalahan, dia boleh didenda tidak melebihi RM30,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Seksyen 26 menyatakan pengamal berdaftar tidak boleh mengamal bidang amalan yang diiktiraf kecuali jika dia memegang perakuan pengamalan yang sah dan berkuat kuasa.

Pada prosiding semalam, Ramli yang diwakili peguam Datuk Shaharudin Ali berhujah pengubatan Islam adalah berkait dengan agama Islam dan aspek rawatan yang diberikan oleh pengamal perubatan Islam adalah berkenaan rawatan terhadap penyakit mistik dan kerohanian yang tidak boleh digolongkan dalam kategori perubatan moden.

Beliau berkata akta itu tidak sah kerana Parlimen tidak mempunyai kuasa untuk menentukan dan menetapkan garis panduan perubatan Islam kerana ia melibatkan undang-undang Islam.

“Pengubatan Islam tidak boleh dipisahkan daripada penggunaan ayat-ayat suci al-Quran dan Sunah Nabi,” katanya.

Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan yang mewakili KKM dan kerajaan berhujah akta itu adalah untuk mengawal selia perkhidmatan kesihatan dan perubatan termasuk profesion perubatan, yang berada di bawah Perkara 14, Senarai 1 Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

“Oleh itu Parlimen mempunyai kuasa untuk menggubal akta tersebut,” katanya.

Shamsul berkata Seksyen 5 Akta itu juga memperuntukkan fungsi dan kuasa Majlis Perubatan Tradisional dan Komplementari yang mengawal selia perkhidmatan perubatan tradisional di Malaysia tetapi tidak berkaitan dengan perkara mengenai agama Islam dan adat resam Melayu.

“Skop mengawal selia dan menguruskan pengamal perubatan oleh Majlis di bawah akta ini termasuk soal tatatertib,” katanya sambil menambah peruntukan itu tidak menyentuh penentuan perkara undang-undang Islam dan adat Melayu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *