Empat Pati Warga Filipina Ditahan, Seludup Barang Dan Racun Ikan | Sabah News Kini

Empat Pati Warga Filipina Ditahan, Seludup Barang Dan Racun Ikan | Sabah News Kini

Kongsikan Berita Ini
Dua warga Filipina didapati membawa minyak masak paket yang dikategorikan sebagai barang kawalan bersubsidi…

KUDAT, SABAH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Kudat berjaya menahan dua bot dikendalikan empat Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warga Filipina dalam satu operasi khas yang dijalankan di perairan Kudat semalam.

Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Boon Chin Chau berkata, bot pertama ditahan kerana disyaki menangkap ikan menggunakan racun dan bot kedua pula disyaki cuba melakukan aktiviti menyeludup keluar barang kawalan tanpa kebenaran yang sah.

“Sebuah bot pam tanpa nombor pendaftaran bersama dua warga Filipina berumur 22 dan 30 tahun yang disyaki melakukan kegiatan menangkap ikan menggunakan racun ditahan pada jam 6.45 pagi semalam…

Dua warga Filipina disyaki menangkap ikan menggunakan racun…

“Bot terbabit dikesan pada kedudukan lebih kurang dua batu nautika selatan Pulau Banggi dan hasil pemeriksaan telah menemukan peralatan meracun ikan (sujum) dalam bot berkenaan.

“Manakala sebuah lagi bot enjin sangkut bersama dua penumpang yang juga warga Filipina berumur 48 dan 56 tahun dikesan di kedudukan lebih kurang 2.2 batu nautika di tempat yang sama pada jam 8 pagi.

“Setelah diperiksa mendapati, bot berkenaan membawa barangan yang dikategorikan sebagai barang kawalan bersubsidi iaitu minyak masak paket berjumlah 323 kilogram tanpa surat kebenaran daripada pihak berkuasa,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.

Kegiatan penyeludupan minyak masak ke negara jiran masih berlaku berikutan harga runcit pengguna untuk minyak masak jenis peket satu kilogram lebih rendah di Malaysia berbanding pasaran negara jiran.

Boon menambah, pemeriksaan lanjut juga mendapati, kedua-dua bot berkenaan tidak mempunyai lesen serta individu yang terlibat tiada dokumen pengenalan diri yang lengkap.

“Tangkapan bersama barang rampasan termasuk dua bot berserta enjin sangkut dan enjin pam dianggarkan bernilai RM37,307 manakala kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Cubaan menyeludup keluar minyak masak bersubsidi, bagi kes ini ke Filipina, membawa hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.

“Bagi kes meracun ikan, di bawah Akta Perikanan 1985 (menangkap ikan menggunakan racun) membawa hukuman denda tidak melebihi RM1 juta bagi nakhoda dan RM100 ribu bagi setiap anggota kru.

“Manakala kes tidak memiliki suatu pas yang sah di dalam Malaysia, di bawah Akta Imigresen 1959/63, jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih daripada RM10 ribu atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali dan boleh dikenakan tidak lebih daripada enam kali sebatan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *