Aplikasi ‘Hijrah Diri’ JAKIM Dikeluarkan Dari Google Play | Sabah News

Aplikasi ‘Hijrah Diri’ JAKIM Dikeluarkan Dari Google Play | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

Gambar Hiasan…

PUTRAJAYA, SABAH – Sebuah aplikasi dibangunkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) iaitu Hijrah Diri bertujuan mengajak golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dalam kalangan umat Islam kembali kepada fitrah diri, dikeluarkan oleh Google Play.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, perkara ini dimaklumkan kepadanya oleh agensi di bawah Hal Ehwal Agama dan ternyata ia adalah perkara sangat mendukacitakan.

Beliau berkata, aplikasi itu bertujuan menarik manusia kembali kepada fitrah diri, apatah lagi menjelang bulan Ramadan yang mulia, tetapi dinafikan pihak tertentu.

Menurutnya, banyak lagi aplikasi mendorong kepada maksiat berleluasa dengan megah di peranti yang semakin merosak jiwa umat Islam dan anak muda.

“Saya mengarahkan Jakim untuk berhubung dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mendapatkan penjelasan dan tindakan lanjut.”

“Ternyata ini adalah perkara yang sangat mendukacitakan apabila sebuah aplikasi untuk menarik manusia kembali kepada fitrah diri mereka, apatah lagi menjelang bulan yang mulia Ramadan, telah dinafikan oleh golongan tertentu, sedangkan banyak lagi aplikasi yang mendorong kepada maksiat berleluasa dengan megah di peranti, yang kian merosakkan jiwa umat Islam dan anak muda kini.”

Beliau juga menyeru umat Islam dan rakyat Malaysia berdoa agar usaha kecil Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama melalui JAKIM, untuk mengajak manusia kembali kepada Allah dipermudahkan.

“Kita mohon doa semua umat Islam dan rakyat Malaysia agar usaha kecil Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) melalui agensi utama iaitu Jakim untuk mengajak manusia kembali kepada Allah dipermudahkan.

“Ini cabaran besar kita dan mari kita tempuh bersama,” menurut beliau menerusi satu posting di Facebook.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *