KWSP Nafi Lantik Pihak Ketiga Urus Permohonan Pengeluaran Khas RM10,000 | Sabah News

KWSP Nafi Lantik Pihak Ketiga Urus Permohonan Pengeluaran Khas RM10,000 | Sabah News

Kongsikan Berita Ini





SHAH ALAM, SELANGOR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menggesa pencarum untuk berhati-hati dengan mana-mana iklan permohonan pengeluaran khas RM10,000 yang dikongsikan di laman media sosial.

Menurut KWSP, mereka tidak pernah melantik mana-mana pihak ketiga untuk menguruskan permohonan pengeluaran khas RM10,000 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Rabu.

“Maklumat lanjut mengenai kaedah permohonan pengeluaran ini akan diumumkan dalam masa terdekat,” kata KWSP melalui satu posting di Facebook.

Kerajaan pada Rabu bersetuju membenarkan pengeluaran khas KWSP sebanyak RM10,000 sebagai jalan tengah dalam mengimbangi antara keperluan mendesak hari ini dan simpanan masa hadapan.

Bagaimanapun, Ismail Sabri merayu kepada pencarum supaya mengekalkan simpanan mereka kecuali keadaan benar-benar mendesak dengan membuat pertimbangan sewajarnya sebelum melakukan pengeluaran demi masa depan.

KWSP dalam satu kenyataan memaklumkan permohonan tersebut akan dibuka kepada ahli di bawah umur 55 tahun bermula 1 hingga 30 April depan dan pembayaran dibuat bermula 20 April.

Pengeluaran maksimum sebanyak RM10,000 dan minimum RM50 dengan mengeluarkan baki simpanan dalam Akaun Dua dahulu sebelum mengakses simpanan dalam Akaun Satu.




Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *