Dua Individu Ditahan Cuba Seludup Barang Kawalan Ke Indonesia | Sabah News

Dua Individu Ditahan Cuba Seludup Barang Kawalan Ke Indonesia | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

Antara barang hasil rampasan oleh APMM Sabah – Foto Ihsan APMM Sabah…

TAWAU, SABAH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Tawau menahan sebuah bot kargo tempatan yang sarat dengan pelbagai barang kawalan di peraitan Kuala Sungai Tawau, sekitar jam 8.45 malam semalam.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Siva Kumar a/l Vengadasalamberkata, hasil maklumat orang awam, bot ronda Maritim Malaysia yang menjalankan Ops Sejahtera dan Ops Cegah Pati Selatan telah berjaya mengesan pergerakan bot kargo tersebut sedang bergerak dari arah Sungai Tawau menuju ke Pulau Sebatik.

Pemeriksaan awal mendapati bot kargo tersebut dikendalikan seorang tekong lelaki warga tempatan berusia 49 tahun bersama seorang penumpang lelaki yang juga warga tempatan berusia 46 tahun.

Antara barang hasil rampasan oleh APMM Sabah – Foto Ihsan APMM Sabah…

“Semasa pemeriksaan awal, tekong bot telah mengemukakan permit berkaitan barangan yang dibawa dan menyatakan bahawa muatan tersebut adalah untuk keperluan pemborong di Pulau Sebatik…

“Namun pemeriksaan dokumentasi mengesyaki tekong telah mengemukakan permit barangan yang meragukan berikutan nombor pendaftaran bot kargo yang didaftarkan di dalam permit tidak sama dengan bot kargo yang digunakan,” katanya dalam kenyataan.

Tekong dan penumpang seterusnya ditahan bersama bot dan muatan serta diiring ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk pemeriksaan dan siasatan lanjut.

Hasil penggeledahan menyeluruh ke atas bot kargo tersebut telah menemukan sejumlah 23 unit tonggas (LPG), 2,513 kilogram minyak masak, 2,160 kilogram tepung gandum, 1,680 kilogram gula pasir serta pelbagai barangan lain di dalam bot kargo tersebut.

Kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967 dan Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Kesemua barangan termasuk bot kargo, enjin bot dan muatan barangan disita dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM60 ribu.

“Maritim Malaysia akan terus memperkasakan tugas penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang di Zon Maritim Malaysia khususnya di perairan Timur Sabah (ESSZONE),” tambah Siva.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *