Rusuhan Futsal: Siasatan Polis Hampir Lengkap | Sabah News

Rusuhan Futsal: Siasatan Polis Hampir Lengkap | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

Haris ditemui wartawan pagi tadi…

PENAMPANG, SABAH – Polis daerah ini sedang menyiasat pergaduhan yang berlaku di sebuah gelanggang futsal di Ketiau, Putatan, sini semalam, sebagai kes merusuh.

Ketua Polis Daerah Penampang, DSP Mohd Haris Haji Ibrahim berkata, pihaknya telah menerima aduan daripada dua mangsa yang dipukul tidak lama selepas berlakunya insiden waktu malam itu.

Rakaman insiden tersebut mula tular di media sosial Whatsapp dan Facebook pagi tadi.

“Siasatan diteruskan untuk mengenal pasti punca sebenar pergaduhan, namun dipercayai ianya berkaitan dengan masalah tidak berpuas hati dengan keputusan…

“Kita minta masyarakat untuk tidak memperbesarkan isu ini sehingga boleh menyebabkan pergaduhan yang berikutnya.

“Biarkan pihak polis menjalankan siasatan. Selepas lengkap siasatan, tangkapan akan dibuat ke atas semua yang terlibat,” katanya sambil menambah siasatan menjurus kepada Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata belum ada tangkapan yang dibuat setakat ini tetapi pihak polis dapat mengenal pasti semua yang terlibat berdasarkan maklumat daripada pengadu dan video tular sebagai panduan.

Dalam rakaman 27 saat itu, seorang mangsa dapat dilihat dihentak menggunakan helmet motosikal. Haris berkata individu-individu yang terbabit berumur dalam kalangan 30an.

Menurutnya, mangsa berada dalam keadaan stabil dan tidak memerlukan rawatan di hospital.

“Tujuan kita bersukan adalah untuk beriadah, menjaga kecergasan dan kesihatan. Adakalanya dalam sukan kompetetif ini terdapat individu yang tidak berpuas hati terhadap adat kalah menang.

“Kita minta semua untuk lebih mengawal emosi dan tidak memilih jalan kekerasan untuk melepaskan ketidakpuashatian,” tambah Haris.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *