Seramai 612 Atlet Malaysia Bawa Cabaran Di Sukan SEA Hanoi | Sabah News

Seramai 612 Atlet Malaysia Bawa Cabaran Di Sukan SEA Hanoi | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

KUALA LUMPUR – Seramai 612 atlet negara telah didaftarkan oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk menyertai Sukan SEA Hanoi di Vietnam pada 12-23 Mei ini.

MOM dalam kenyataan yang dipetik Bernama memaklumkan daripada jumlah itu, 226 atlet adalah di bawah kategori A (kos ditanggung sepenuhnya) manakala 386 lagi bertanding di bawah kategori B (kos dipulangkan jika memenangi pingat).

Menurut kenyataan itu lagi seramai 206 pegawai merangkumi 102 di bawah kategori A dan 104 di bawah kategori B turut dibawa ke temasya dwitahunan itu, sebaik tarikh tutup pendaftaran berdasarkan nama ditutup semalam (12 Mac).

“Jumlah keseluruhan atlet lelaki adalah 377 orang (62 peratus) dan atlet wanita 235 orang (38 peratus), manakala jumlah pegawai lelaki adalah 175 orang dan 31 orang pegawai wanita,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, menurut MOM semalam juga merupakan tarikh akhir penamaan atlet bagi persatuan sukan dan masing-masing telah memuktamadkan atlet mereka.

Ini termasuk sukan olahraga yang menamakan 23 atlet lelaki dan 14 atlet wanita (18 orang di bawah kategori A dan 19 orang di bawah kategori B), esukan merangkumi 47 atlet lelaki bertanding di bawah kategori B untuk enam acara (Games Title) manakala empat atlet lelaki di bawah kategori A bagi acara Fifa Online 4 kelolaan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

“Sukan renang telah menamakan 11 atlet lelaki dan tiga atlet wanita (tiga orang di bawah kategori A dan 11 orang di bawah kategori B)…

“Sukan mendayung pula menamakan seorang atlet lelaki yang berjaya melepasi ujian masa ditetapkan, manakala kanu menyenaraikan empat atlet lelaki dan dua atlet wanita (seorang kategori A dan lima kategori B) yang telah layak setelah melepasi ujian masa ditetapkan,” tambahnya.

MOM juga mengesahkan kontinjen Malaysia akan menyertai 37 jenis sukan daripada 40 jenis sukan dipertandingkan di Vietnam nanti.

Menurut badan induk sukan itu, TIGA (3) jenis sukan yang tidak akan disertai Malaysia adalah bola baling, vovinam dan gusti

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *