KKM sasar 50% kanak-kanak terima vaksin Covid-19 sebelum persekolahan bermula

KKM sasar 50% kanak-kanak terima vaksin Covid-19 sebelum persekolahan bermula

Kongsikan Berita Ini

SEREMBAN: Kementerian Kesihatan (KKM) menyasarkan 50 peratus kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun di negara ini menerima suntikan vaksin Covid-19 melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) sebelum sesi persekolahan bermula minggu depan.

Justeru, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin menyeru ibu bapa segera membawa anak masing-masing menerima suntikan vaksin tersebut agar dapat melindungi mereka daripada kesan buruk sekiranya dijangkiti Covid-19.

“Apa yang membimbangkan adalah kemasukan kanak-kanak ke unit rawatan rapi (ICU) akibat Covid-19. Sekarang ini hanya 32 peratus sahaja kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun menerima suntikan.

“Jangan ambil sikap ‘tunggu dan lihat’, sekolah akan dibuka seminggu lagi, saya merayu segeralah mendapatkan suntikan vaksin untuk anak-anak. Vaksin tidak boleh cegah jangkitan tetapi dapat melindungi anak kita daripada kesan gejala buruk Covid-19,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program khidmat komuniti anjuran Persatuan Pembantu Perubatan Malaysia di sini hari ini.

Pada program itu, Khairy berkata KKM mencadangkan Bulan Pemeriksaan Kesihatan diadakan pada Julai ini bagi mengalakkan lebih ramai masyarakat berusia 40 tahun ke atas menjalani saringan kesihatan secara percuma di hospital dan klinik kesihatan kerajaan.

Beliau berkata KKM juga melakukan program ‘outreach’ bagi saringan kesihatan kepada penerima B40 di kawasan luar bandar dan pedalaman yang turut melibatkan pengamal perubatan swasta di bawah program Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40).

“Kita buat keputusan di kementerian supaya satu bulan pada tahun ini dikhususkan untuk melaksanakan saringan kesihatan, saya akan umumkan tarikh dan sasaran berapa juta individu yang akan kita saring pada bulan tersebut,” katanya.

Beliau berkata susulan negara berdepan pandemik Covid-19 dalam tempoh dua tahun ini, tidak banyak program perkhidmatan kesihatan bukan Covid-19 dapat dilaksanakan dan kini adalah masa sesuai untuk melaksanakan program kesedaran kesihatan tersebut.

Khairy berkata usaha itu perlu dilakukan pihak berwajib kerana ketika ini hanya 561,000 daripada 4.9 juta penerima PeKa B40 mendapatkan manfaat daripada program berkenaan. — Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *